Buletin

SIME DARBY RANCANG JUAL KERETA MEWAH DI INDIA DAN INDONESIA

Sime Darby Bhd sedang meninjau untuk menubuhkan perniagaan runcit kereta mewah di India dan berkembang di Indonesia untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan kedua-dua ekonomi itu, kata eksekutif kanan konglomerat perindustrian dan automotif Malaysia itu kepada Reuters.

“Kami tidak boleh mengabaikan India,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson.

“Ia sesuatu yang terlalu besar, anda tidak boleh mengabaikannya. Jadi, kami sedang meninjau peluang di India untuk melihat sama ada kami boleh melakukan sesuatu dengan rakan kongsi tempatan dan memulakan perniagaan runcit kereta di sana,” tambahnya.

India, negara paling ramai penduduk di dunia, adalah ekonomi kelima terbesar dunia.

Jeffri berkata, Sime Darby juga merancang untuk berkembang di Indonesia, ekonomi terbesar Asia Tenggara, berikutan usaha sama dengan firma tempatan untuk menjual kereta BMW di Jakarta dan Medan.

Sime Darby, yang memperoleh 35 peratus daripada pendapatannya dari China, melihat permintaan untuk kereta mewah di sana kekal kukuh walaupun pertumbuhan ekonomi perlahan.

“Rakyat China mempunyai wang, mereka masih membeli kereta,” kata Jeffri.

“Masalah di China bukan masalah permintaan, ia adalah masalah bekalan.”

Jeffri berkata, pengeluar kereta di China meningkatkan pengeluaran dengan harapan memperoleh bahagian pasaran selepas pandemik, mewujudkan ketidakseimbangan bekalan yang mendorong pengeluar mengurangkan harga, memberi tekanan marjin keuntungan pengedar runcit.

Sime Darby diasaskan pada 1910 dan salah satu konglomerat tertua di Malaysia dengan perniagaan yang merangkumi perladangan hingga pembuatan.

Ia kini beroperasi di 17 negara.

Ia memisahkan perniagaan minyak sawit dan hartanah pada 2017, dan telah melupuskan perniagaan lain termasuk Ramsay Sime Darby Health Care yang dijual bulan lalu.

Sime Darby kini memberi tumpuan kepada perniagaan perindustrian dan permotoran, termasuk memasang kereta Porsche di Malaysia dan mengedarkan kenderaan elektrik BYD di Malaysia dan Singapura.

Pada Ogos, ia mengumumkan pengambilalihan 61.2 peratus pegangan dalam UMW Holdings Bhd, yang memasang kereta Toyota di Malaysia dan memiliki pegangan dalam pembuat kereta tempatan, PERODUA, dengan harga RM3.57 bilion.

Jeffri berkata, perjanjian itu akan menjadikan Sime Darby pemain automotif terbesar di Malaysia, menguasai lebih 50 peratus pasaran automotif negara.

“Kami lebih kepada segmen mewah,” katanya.

“Dengan melakukannya, kami tiba-tiba terbabit dalam pasaran massa… dengan tiba-tiba, kami melalui semua rantaian nilai,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button