
SISTEM AERO AKTIF HYUNDAI BAKAL PANJANGKAN JARAK OPERASI EV – SEJAUH MANA TU?
Hyundai Motor Company baharu sahaja dedahkan teknologi sistem aero aktif yang direka untuk bolehkan EV bergerak lebih laju dan sekaligus menambah jarak perjalanan. Ia dinamakan Active Air Skirt (AAS) dan dipatenkan untuk mengurangkan kesan daya seretan.

AAS bakal dipasang di bahagian bawah bumper hadapan kenderaan. Ia tidak akan muncul sewaktu kenderaan beroperasi secara normal tapi akan diaktifkan sebaik kelajuan meningkat kepada 80 kmj. Kenapa 80 kmj? Sebab ia merupakan titik ujian seretan dinamik yang dilakukan kepada Genesis GV60.
Ia mampu beroperasi sehingga ke kelajuan 200 kmj dan akan dinyahaktifkan pada kelajuan 70 kmj. Boleh tahan ke benda ni? Tak payah risau sebab material untuk skirt canggih ini ialag sejenis material tahan lasak yang sudah diuji ketahannya.
Hyundai menyatakan yang AAS mengurangkan daya seretan sebanyak 0.008 Cd ataupun bersamaan dengan 2.8 peratus. Jarak operasi pula bertambah sebanyak hampir 6 kilometer. Jika dilihat pada kesan positif penggunaannya, Hyundai dijangka akan menggunakan teknologi ini secara meluas pada model-model keluarannya.
Menurut Hyundai lagi teknologi ini dijangkakan akan memberi manafaat yang lebih kepada SUV yang memang mempunyai ciri aerodinamik yang agak menyedihkan. Paten berkaitan teknologi ini sudah pun difailkan di Amerika Syarikat dan Korea Selatan menunjukkan mereka benar-benar serius mahu memasarkannya bersama kenderaan keluaran mereka.
Kredit video carbuzz.com