Buletin

SURUHANJAYA SEKURITI AKAN SIASAT DAKWAAN RASUAH LIBATKAN AIRASIA

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memberitahu pihaknya akan meneliti kenyataan fakta dalam kes Regina menentang Airbus SE yang mendedahkan beberapa dakwaan terhadap AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

“Memandangkan kedua-duanya disenaraikan di Bursa Malaysia, Suruhanjaya akan meneliti dakwaan berkenaan. Selain menyemak semua bukti yang ada untuk menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang sekuriti,” kata Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Syed Jaafar Albar.

Mengikut Seksyen 317A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, seorang pengarah syarikat senaraian awam yang melakukan apa-apa dengan niat untuk menyebabkan kerugian salah kepada syarikat atau perbadanan yang berhubungannya dikira sebagai melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara dan denda.

AirAsia menerusi kenyataannya semalam menafikan dakwaan rasuah terhadapnya. Ia  menegaskan tidak pernah terlibat dalam mana-mana siasatan Serious Fraud Office United Kingdom (SFO) mengenai Airbus atau diberikan sebarang peluang untuk menyediakan maklumat atau penjelasan kepada SFO.

AirAsia berkata demikian berikutan artikel bertajuk “AirAsia directors/staff got RM240 mil bribe from Airbus, court docs say” di laman web focusmalaysia.my serta artikel-artikel lain yang tersiar di media berkaitan Persetujuan Pendakwaan Tertunda yang dicapai oleh Airbus SE dan SFO pada 31 Jan 2020.

Artikel berkenaan mendakwa perjanjian tertentu oleh AirAsia untuk menempah pesawat Airbus adalah dikaitkan secara tidak wajar dengan penajaan oleh Airbus untuk sebuah pasukan sukan yang dimiliki bersama oleh eksekutif AirAsia.

“AirAsia secara tegasnya menolak dan menafikan sebarang dan semua dakwaan salah laku ini,” jelas syarikat penerbangan kos rendah itu. BERNAMA

Google ads
Back to top button