Motosikal

SUZUKI GSX-S1000 RASMI DILANCARKAN DI MALAYSIA. RM76,900 SEUNIT 

Selain skuter maxi Burgman 400, Suzuki Malaysia turut melancarkan model street fighter Suzuki GSX-S1000 ke pasaran tempatan. Didatangkan dalam warna biru, jentera itu boleh anda miliki pada harga RM76,900 (termasuk insurans dan pendaftaran).

GSX-S1000 mengetengahkan konsep rekaan “The Beauty of Naked Aggression” yang cukup agresif. Pengendalian lincahnya banyak disumbangkan oleh komponen yang ditala rapi dan penggunaan teknologi termaju.

Rekaan hadapan mengambil inspirasi daripada jet pejuang. Sementara bahagian ekor yang nipis itu mencipta profil yang lebih ringan. Pelekat badan pula menampilkan logo serba baharu serta tekstur seakan gentian karbon, diikuti dengan logo GSX-S pada bahagian kunci.

Suzuki GSX-S1000 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 999cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang sudah terbukti di litar. Enjin yang mematuhi  standard piawaian emisi Euro 5 itu mampu menjana 152PS.  

Sistem ekzos 4-2-1 telah dikemaskini dengan menampilkan sistem Suzuki Exhaust Tuning (SET), unit peredam, penukar bermangkin baharu, serta rekaan kebuk yang disemak semula. Suzuki turut mengekalkan identiti resonans bunyi kemasukan dan meningkatkan lagi kualiti not ekzos yang terhasil.

Sistem Suzuki Clutch Assist System (SCAS) pula memberikan nyahpecutan yang lebih lancar serta kawalan yang lebih baik terutama ketika menurunkan gear, selain memberikan operasi klac yang lebih ringan.

Sistem Suzuki Drive Model Selector (SDMS) membenarkan pemilihan tiga karakteristik output yang berbeza bagi memenuhi keperluan tunggangan dalam keadaan yang berbeza.

Sama ada untuk tunggangan sporti, atau menyertai acara hari litar, menunggang di atas jalan yang licin atau kasar, atau sekadar menikmati perjalanan santai di jalan bandar.

Suzuki Traction Control System (STCS) pula didatangkan dengan lima tetapan serta mod OFF bagi memberikan penunggang kawalan lebih meyakinkan dan mengurangkan keletihan.

Sistem kawalan pendikit elektronik ride-by-wire kini lebih ringkas, lebih ringan dan kompak jika dibandingkan dengan penggunaan pendikit mekanikal pada model terdahulu.

Sistem Bi-directional Quick Shift (ON/OFF) pula menawarkan penukaran gear yang lebih cepat dan lancar tanpa menggunakan tuil klac. Ini bagi mengelakkan kesilapan penukaran gear.

Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi penggunaan brek Brembo dengan cakera berkembar bersaiz 320mm di hadapan.

Jika berminat, GSX-S1000 sudah boleh didapati di semua bilik pameran sah Suzuki Malaysia di seluruh negara.

GALERI

Google ads
Back to top button