
SUZUKI SAMBUT ULANG TAHUN KE 25 HAYABUSA DENGAN MODEL EDISI KHAS
Sewaktu Suzuki memperkenalkan GSX1300R di Intermot, Jerman tahun 1998, masa depan superbike tersebut kelihatan masih samar-samar. Kini selepas 25 tahun, mereka telah menjual lebih 300,000 unit superbike tersebut di seluruh dunia. Satu pun tak pernah kami miliki sebab tak cukup duit. Ia lebih dikenali dengan nama, Hayabusa. Haiya, manyak busat oo.

Kali ini sebagai menghargai sokongan peminat dan pasaran yang meningkat naik sejak tahun 1999, Suzuki telah memperkenalkan Hayabusa edisi khas 2024. Jangan lupa enjin Hayabusa turut digunakan pada beberapa kereta kecil menunjukkan betapa berkuasanya enjin ini.
Hayabusa edisi khas ini dilayangkan dengan kombinasi warna Glass Blaze Orange dan Glass Sparkle Black. Menurut Suzuki ia merupakan kombinasi warna paling popular pada generasi kedua Hayabusa. Ia diturut dihiasi dengan grafik merah berbentuk-V selain tulisan kanji Hayabusa berwarna hitam pada bahagian sisi. Kejap lagi kalau ada kedai stiker jual pelekat ni mesti ada yang beli lepas tu tampal kat Alza, Almera, Persona dan macam-macam lagi.

Sebagai penghargaan kepada usia suku abad Hayabusa, ia turut dilengkapkan dengan plak istimewa 25 tahun pada bahagian tangki minyak di antara dua tulisan SUZUKI. Bukan itu sahaja, peredam bunyi ekzosnya juga turut mempunyai ‘ukiran’ logo ulang tahun ke 25 Hayabusa. Ala, tak boleh nak tukar ekzos la ni kan?
Sama seperti model-model lain, Hayabusa 2024 ini masih mengekalkan rekaan badan berbentul seekor helang, sistem elektronik termaju dengan teknologi ride-by-wire untuk mengawal kuasa yang dihasilkan dari enjin 1,340 cc DOHC yang terkenal ini.
Presiden Suzuki, Toshihiro Suzuki menyatakan yang Hayabusa mempunyai peminat dari serata dunia dan versi edisi khas ini merupakan satu cara mereka mengucapkan terima kasih untuk sokongan yang diberikan.

Beliau turut menguji sendiri superbike ini dan dengan bangga menyatakan yang ini merupakan Hayabusa terbaik setakat ini. Hayabusa akan terus berevolusi dan mereka sentiasa mengharapkan sokongan anda. Kena beli jugak la ni kan?
Harga Hayabusa edisi khas ini belum diumumkan. Mungkin lepas pilihanraya nanti kot?

