SYARIKAT RUSIA HASILKAN BANCUHAN TAR BAU STRAWBERI
Sebuah syarikat di wilayah Leningrad baru-baru ini menghasilkan bancuhan tar dengan bauan buah strawberi bagi mengurangkan bau yang kurang menyenangkan ketika proses menurap jalan dilakukan.
Bauan tar ketika jalan dibuat atau dibaiki disifatkan sebagai bau paling tidak menyenangkan di dunia, terutama kepada pengguna jalan raya.
Agensi berita Interfax melaporkan, syarikat tersebut menghasilkan jalan sepanjang 700 meter menggunakan tar dengan bauan strawberi.
“Idea tersebut dicetuskan oleh kontraktor di syarikat berkenaan kerana ramai orang tidak menyukai bau tar ketika bahan itu panas, terutamanya semasa proses menghasilkan atau membaiki jalan.
“Jalan itu yang terletak di daerah Vsevolozhsk merupakan sebahagian daripada projek Jalan Kualiti dan Keselamatan Tinggi yang dilaksanakan Rusia,” menurut laporan tersebut.
Proses penghasilan jalan itu menyaksikan kira-kira 300 tan tar dengan bauan strawberi dibancuh.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan berapa lama bauan tersebut bertahan dan kontraktor yang melakukan projek itu memberitahu, bauan tersebut tidak menjejaskan bancuhan tar berkenaan. – Utusan Online