
TEMPAHAN PROTON e.MAS 5 DIBUKA BERMULA 4 OKTOBER, UMUM ANGGARAN HARGA
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat milik penuh PROTON, mengumumkan bahawa model elektrik serba baharu Proton e.MAS 5 kini boleh ditempah bermula Sabtu, 4 Oktober 2025.
Majlis tempahan akan berlangsung secara siaran langsung bermula jam 8.00 malam hingga 10.30 malam di platform media sosial rasmi.
Acara ini akan dikendalikan oleh personaliti media sosial terkenal Boss James bersama pelakon popular tanah air, Norreen Iman.
Penonton boleh menyaksikan demonstrasi produk secara langsung, sesi interaktif bersama pakar automotif, serta perkongsian pengalaman menggunakan kenderaan elektrik.

Paling dinanti-nantikan pastinya pendedahan harga anggaran e.MAS 5, yang dijangka menjadi EV paling mampu milik di pasaran tempatan.
Direka untuk semua golongan pengguna, e.MAS 5 menekankan aspek kepraktisan dengan harga yang berpatutan. Walaupun dikategorikan sebagai SUV segmen B, ruang dalamannya setara dengan kenderaan segmen C, sesuai untuk keluarga dan penggunaan harian.
e.MAS 5 dibangunkan menggunakan Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) daripada Geely, iaitu platform sama yang digunakan oleh e.MAS 7.
Dari segi saiz, model ini berukuran 4,135mm panjang, 1,805mm lebar, 1,570mm tinggi dengan jarak roda 2,650mm.
Buat masa ini, hanya varian e.MAS 5 Premium disahkan spesifikasinya. Ia dilengkapi bateri LFP 40.16 kWh daripada CATL, mampu mencapai jarak sehingga 325km (WLTP) dengan sekali cas.
Sokongan pengecasan pantas DC sehingga 71kW membolehkan bateri dicas daripada 30% ke 80% dalam masa sekitar 21 minit, manakala pengecasan AC satu fasa menyokong sehingga 6.6kW.

Kuasa pemanduan dijana oleh motor elektrik tunggal berkuasa 85kW (114hp) dengan tork 150Nm, membolehkan pecutan 0-50 km/j dicapai dalam masa hanya 3.9 saat.
Menariknya, e.MAS 5 menggunakan pacuan roda belakang (RWD).
Selain ruang but utama berkapasiti 375 liter yang boleh diperluaskan hingga 1,320 liter dengan kerusi belakang dilipat, e.MAS 5 turut menawarkan pelbagai ruang simpanan tambahan termasuk frunk 70L, ruang bawah konsol 20L, laci 10L, storan pintu, serta ruang tersembunyi 28L di bawah tempat duduk belakang. Secara keseluruhan, terdapat 32 ruang simpanan disediakan.
Di dalam kabin pula, ia dilengkapi sistem infotainmen dikuasakan paparan bersaiz 14.6-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (berwayar dan tanpa wayar), dilengkapi Atlas Auto yang menampilkan pembantu suara dalam Bahasa Malaysia serta peta langsung untuk lokasi pengecas EV.
Dari segi keselamatan, e.MAS 5 Premium dipasang dengan enam beg udara serta rangkaian sistem bantuan pemandu (ADAS) seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Lane Change Assist (LCA) dan lain-lain.

Tempahan & Tawaran Awal
Mulai 4 Oktober, orang ramai boleh membuat tempahan sama ada melalui siaran langsung atau terus di pengedar Proton e.MAS seluruh negara.
Pelanggan yang membuat tempahan awal berpeluang menikmati ganjaran eksklusif termasuk rebat khas, tertakluk kepada jumlah pendaftaran terhad.
Orang ramai dijemput menyaksikan acara ini secara langsung di Facebook dan TikTok pada Sabtu, 4 Oktober jam 8 malam.