Buletin

TENGKU DJAN,CLEMENT YEO,SHUKRI YAHYA DAN NAQUIB AZLAN RANGKUL JUARA KESELURUHAN VIOS CHALLENGE MUSIM KE-4

Raja Drift negara, Tengku Djan Ley dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam kelas Super Sporting pada perlumbaaan  Vios Challenge musim ke-4 di Litar Antarabangsa Sepang.

Kejayaan duta TOYOTA GAZOO Racing Malaysia itu melakar kejayaan buat kali ke-3 dalam perlumbaan penuh sengit untuk pelumba elit.

Dia menumpaskan saingan sengit pelumba 23 Motors, Mitchell Cheah yang menjadi naib juara manakala tempat ketiga dimenangi Freddie Ang (Telagamas Toyota).

“Terlalu banyak tekanan sepanjang perlumbaan akhir ini. Bagaimanapun, saya mengingatkan diri sendiri supaya memberi saingan dengan bijak,” ujar Tengku Djan yang membawa balik hadiah bernilai RM70,000.

Dalam saingan kelas Sporting menyaksikan perlumbaan dramatik pada pusingan pertama melibatkan tidak kurang dari enam jentera Vios disebabkan litar basah.

Begitupun, ia tidak menghalang Clement Yeo melakar slot pertama sekali gus merangkul juara keseluruhan kelas Sporting dan membawa pulang hadiah bernilai RM50,000.

Dalam kelas Promotional pula, pelumba Zizan Razak dan Shukri Yahaya menjadi tumpuan apabila masing-masing ingin meraih kedudukan teratas serta juara keseluruhan dalam kelas tersebut.

Perlumbaan 18 pusingan itu menyaksikan Zizan mendahului Shukri di tempat kedua, sementara penyanyi Khai Bahar pula ditempat ketiga.

Bagaimanapun, Zizan telah melakukan kesilapan dan membuka ruang kepada Shukri mendahului perlumbaan sebelum dipintas Khai Bahar yang berjaya meraih tempat pertama.

Biarpun menduduki tempat kedua disebabkan penalti yang dikenakan, namun kutipan mata sepanjang musim keempat memastikan Shukri Yahaya diumum sebagai juara keseluruhan bagi kelas Promotional.

Sementara itu, pelumba simulator, Naquib Azlan membuktikan dia mampu menguasai litar sebenar apabila menjadi juara keseluruhan kelas Rookie.

Ketua Sukan Permotoran Toyota GAZOO Racing Malaysia Akio Takeyama berkata penutup perlumbaan yang sangat menarik walaupun berdepan cabaran berikutan pandemik.

“Kami rasa bersyukur dapat menamatkan kejuaraan untuk tahun ini.

“Pengenalan format perlumbaan malam turut merancakkan lagi Vios Challenge kali ini.

“Ia sekali gus menjadikan satu perlumbaan yang sukar diduga dan mendebarkan bukan sahaja oleh pelumba serta penonton,” katanya.

Hadir sama menyaksikan perlumbaan akhir Vios Challenge ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata pembabitan UMW Toyota Malaysia dalam sukan pemotoran negara menunjukkan kebersamaan syarikat-syarikat korporat dalam memainkan peranan dan menyumbang menyuburkan lagi industri sukan berkenaan.

Google ads
Back to top button