Buletin

TESLA JANA KEUNTUNGAN 8 KALI GANDA BERBANDING TOYOTA. JUAL SIKIT, UNTUNG BANYAK

Tesla memperoleh keuntungan lapan kali ganda bagi setiap kenderaan berbanding Toyota pada suku Julai-September, walaupun dijual lebih daripada 7 berbanding 1. Tesla melaporkan keuntungan bersih AS$3.29 bilion (RM15.6 bilion) pada suku tahun tersebut berbanding Toyota dengan AS$3.15 bilion (RM14.9 bilion).

Keuntungan itu menjadikan Tesla berada di hadapan buat kali pertama sejak 2010 berbanding pesaingnya dalam keuntungan bersih suku tahunan.

Kemerosotan Toyota berpunca daripada peningkatan kos bahan dan elektrik untuk pembekal. Kos tersebut mengurangkan keuntungan operasi tahunannya sebanyak AS$3.07 bilion (RM14.5 bilion). Perbelanjaan menghentikan pengeluaran di Rusia juga antara faktor penting kemerosotan itu.

Walau bagaimanapun, penurunan keuntungan Julai-September bukanlah menunjukkan potensi pendapatan sebenar Toyota. Toyota masih mendahului dari segi keuntungan operasi, bersamaan dengan AS$4.08 bilion (RM19.3 bilion) berbanding Tesla, AS$3.69 bilion (RM17.4 bilion).

Tesla menjadi salah satu pembuat kereta paling menguntungkan di dunia walaupun keuntungan bersihnya kurang daripada Mercedes-Benz pada Julai-September. Namun ia masih mengatasi BMW dan Volkswagen dengan margin keuntungan bersih mencecah 15 peratus untuk suku tersebut.

Keuntungan Tesla sebahagian besarnya datang daripada setiap kereta yang terjual. Kumpulan Toyota menjual 2.62 juta kenderaan pada suku tersebut, 7.6 kali lebih banyak berbanding Tesla, dengan 344,000 jualan.

Keuntungan bersih untuk setiap kenderaan yang terjual bersamaan dengan AS$1,200 (RM5,691) iaitu hanya satu perlapan berbanding AS$9,570 (RM45,385) Tesla.

Jurang itu adalah hasil daripada strategi asas yang berbeza dijalankan oleh kedua-dua pembuat kereta berkenaan. Toyota menawarkan pelbagai jenis kenderaan daripada kereta berkuasa petrol kepada kenderaan hibrid, elektrik dan sel bahan api, merangkumi banyak saiz dan variasi harga.

Sementara Tesla pula memberi tumpuan semata-mata pada EV. Model Y dan Model 3 menyumbang lebih 90 peratus daripada jualannya, yang meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh dua tahun walaupun harganya agak tinggi. Malah Model 3 yang lebih murah bermula pada sekitar AS$40,000 (RM189,700) di Amerika Syarikat.

Penggunaan EV semakin meningkat dan menurut Boston Consulting Group, jualan kereta elektrik baharu akan mencapai 39 peratus pada tahun 2030. Justeru, Toyota menetapkan matlamat untuk menjual 3.5 juta EV menjelang 2030, selain memastikan infrastruktur pengecasan EV mencukupi dan memenuhi kemajuan teknologi. – Free Malaysia Today

Google ads
Back to top button