Buletin

TEY 2016 – TUMPU CABARAN PENGURUSAN SISA PEPEJAL

Memasuki edisi penganjuran kali ke-15, Cabaran Toyota Eco Youth (TEY) memberi tumpuan kepada isu yang lebih serius iaitu pengurusan sisa pepejal.

Toyota-Eco-Youth-2016-mekanika (2)

Di peringkat global, Toyota telah menggariskan Cabaran Alam Sekitar Toyota 2050. Ia melibatkan 6 kunci utama permasalahan alam sekitar untuk ditangani dalam tempoh tiga dekad.

Di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) mengamalkan pendekatan mesra alam di ibu pejabat, bilik pameran dan pusat-pusat servisnya. Pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar turut dianjurkan pada setiap tahun.

Misalnya taklimat kesedaran alam sekitar, penanaman pokok, kitar semula dan banyak lagi. Usaha-usaha ini mencerminkan kesungguhan UMWT terhadap  pentingnya kesedaran alam sekitar. Selain keperluan untuk melahirkan generasi baru yang akan meneruskan amalan-amalan berkenaan dalam segenap aktiviti kehidupan mereka.

Toyota-Eco-Youth-2016-mekanika (1)

Ketua Penolong Pengarah Kementerian Pendidikan, Mahamad Amran Kamsi memberitahu pengurusan sisa pepejal adalah masalah lama dan menjadi lebih buruk dengan pertambahan populasi manusia.

“Masalah utama sisa pepejal adalah ia tidak akan terlupus secara semulajadi. Sikap konsumerisme juga perlu diubah. Walaupun penyelesaian terbaik yang ada kini masih melibatkan 3R (Reduce, Reuse & Recycle), kadar kitar semula di Malaysia masih terlalu rendah, iaitu dua peratus,” katanya.

Melalui TEY, pelajar akan membangunkan kemahiran teknikal dan  kesedaran terhadap pemuliharaan alam. Sebelum ini, sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dipilih oleh Kementerian Pendidikan.

Toyota-Eco-Youth-2016-mekanika (3)

Tahun ini, untuk meningkatkan lagi cabaran bagi program berkenaan, sekolah yang ingin turut serta perlu menyerahkan kertas cadangan projek kepada pihak penganjur.

Pendekatan terbaru ini dijangka dapat memberikan keputusan yang lebih baik dari segi hasil projek, promosi dan pendedahan. Memandangkan sekolah-sekolah yang ingin turut serta perlu menunjukkan kesungguhan dari peringkat awal lagi.

Setakat ini, 209 buah sekolah terlibat di dalam cabaran TEY. UMW Toyota telah membelanjakan RM6 juta untuk program berkenaan sejak ia dimulakan pada 2001. UMW Toyota melihatnya sebagai satu bentuk pelaburan modal insan dan terhadap bumi yang didiami ini.

Google ads
Back to top button