Buletin

TIDAK SUKA DIARAH, INDONESIA AKUI RANCANGAN TESLA UNTUK BINA KILANG BATERI BATAL 

Tesla dilapor tidak akan membina kilangnya di Indonesia berikutan perbincangan dengan kerajaan republik tersebut menemui kegagalan. Antara perkara yang gagal mendapat kata sepakat ialah bekalan bahan mentah.

Sebelum ini, pegawai kanan Indonesia seperti Nicke Widyawati yang mengetuai syarikat minyak utama menyatakan Tesla mahu membina kilang untuk menghasilkan Sistem Simpanan Tenaga, satu alat mudah alih yang mampu menyimpan puluhan megawatt bekalan elektrik dan boleh dihantar ke kawasan pedalaman.

Pada Februari 2021, kerajaan Indonesia mengesahkan ada menerima surat cadangan daripada Tesla. Ia turut menyatakan keterujaan untuk bekerjasama dengan syarikat tersebut dalam membangunkan teknologi bateri lithium antara yang terbaik di dunia.

Menteri Koordinasi untuk Pelaburan dan Hal Ehwal Maritim Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan memberitahu Tesla ada menyatakan minat untuk melabur di negara berkenaan.

Luhut mengakui rancangan itu gagal kerana Tesla seperti mahu mengarah Indonesia. “Saya kata, dua tahun lalu kamu menghubungi saya dan mahu menghasilkan bateri lithium. Anda semua seperti hendak mengarah-arahkan kami.

“Anda tidak boleh buat begitu. Hari ini berbeza. Kita mesti adil. Negara ini bukan republik pisang. Ini ialah sebuah negara yang hebat!” tegas Luhut.

Luhut mengingatkan bahawa Tesla perlu mematuhi syarat yang dikenakan oleh kerajaan Indonesia seperti yang diikuti oleh pelabur lain termasuklah dari China. Antara syarat yang dikenakan ke atas pelabur asing ialah melakukan pemindahan teknologi, mesra alam, melatih pekerja tempatan dan memberi nilai tambah.

“Saya tidak mahu anda (Tesla) memberi syarat kepada kami. Kami yang beri syarat kepada anda,” kata Luhut.

Pada 15 September 2021, sebuah consortium yang diketuai oleh LG Solution dari Korea Selatan, anak syarikat LG Chem melakukan acara pecah tanah kilang bateri kenderaan bernilai AS$1.5 bilion (RM6.31 bilion) di Kerawang, Jawa Barat. Kilang itu mempunyai kapasitu 10 gigawat jam dan akan ditingkatkan menjadi 30GWh.

Contemporary Amperex Technology (CATL) dari China pula komited untuk melabur sebanyak AS$5 bilion (RM21 bilion) menjelang tahun 2023 dan AS$15 bilion (RM63.1 bilion) lagi selepas tahun 2028.  

Indonesia yang memiliki simpanan nikel terbesar di dunia mahu membangunkan rantaian penuh bekalan tersebut, bermula daripada mengekstrak bahan kimia hinggalah menghasilkan bateri untuk kereta elektrik.

Google ads
Back to top button