TRD3000GT NAMA MU TERATAS – ADA TAK YANG NAK TRADE IN DENGAN BUAH PINGGANG?
Toyota Supra memang mempunyai kedudukan yang tinggi dalam dunia automotif. Lima generasi Supra telah muncul sejak mula diperkenalkan pada tahun 1978 tapi hanya satu generasi yang menempa nama sebagai kereta sports Jepun paling ikonik. Ia adalah generasi keempat ataupun MK4 yang mula diperkenalkan di Chicago Motor Show 1993. Rekaan badannya yang sporty memang sangat retro futuristik tapi tarikan sebenar ialah pada enjinnya.
Dikenali ramai sebagai 2JZ, inilah enjin sebaris enam paling lejen sekali dengan potensi talaan tanpa batasan. Ia juga sangat fleksibel dan tak banyak karenah berbanding enjin lain. Inilah ramuan yang menjadikan Supra MK4 sebuah ikon. Namun daripada banyak-banyak MK4 Supra yang dihasilkan hanya satu mampu menggetarkan tulang kering abang, TRD 3000GT.
Kehadiran TRD 3000GT yang dijelmakan dari Supra standard muncul selepas Toyota Racing Development (TRD) ditubuhkan. Ia bukan sekadar naik taraf kosmetik tapi ia melibatkan penambahan ciri-ciri yang dipelajari TRD dalam perlumbaan kepada sebuah Supra standard.
TRD 3000GT muncul buat pertama kali di Tokyo Auto Salon 1994. Ia muncul sebelum model perlumbaan GT500 diperkenalkan pada tahun yang sama. Ia mempunyai ukuran badan dan rekaan yang sama dengan jentera perlumbaan GT500. Malah ia juga diuji di terowong angig yang sama dengan jentera GT500.
Banyak komponen TRD 3000GT boleh didapati dan dipasang oleh pengedar bertauliah tapi a tidak setanding dengan proses naiktaraf yang dilakukan oleh TRD sendiri. Hanya 35 unit TRD 3000GT dihasilkan dan kesemuanya mempunyai plat VIN baharu yang menyatakan pertukaran IC nya daripada Toyota Supra ke TRD 3000GT.
Matlamat utama TRD 3000GT diwujudkan bukannya untuk memerah lebih kuasa dari enjin 2JZ sebaliknya lebih kepada meningkatkan keupayaan dinamik kereta ini. Ia dicapai dengan penggunaan komponen yang lebih ringan dan aerodinamik.
Pakej naiktaraf kuasa turut ditawarkan TRD dan pakej paling ekstrim mampu melonjakkan kuasa kereta ini sehingga mencecah 600 hp. Walaupun kuasa bukan matlamat utama TRD tapi kuasa TRD 3000GT memang meningkat dengan menambah sistem induction yang lebh baik.
Segala-galanya tentang TRD 3000GT adalah lebih berbanding Supra standard. Ia lebih lebar, lebih aerodinamik, mempunyai tayar yang lebih lebar, GT wing yang lebih besar dan macam-macam lagilah.
Memang payah nak jumpa kereta ni tapi kalau jumpa dan duit dalam poket pun mencukupi memang baik belilah.