
UMW TOYOTA MOTOR CATAT JUALAN 45,911 UNIT KENDERAAN SEPARUH PERTAMA 2022
UMW Toyota Motor berjaya mencatat jualan sebanyak 8,870 unit untuk Toyota dan 69 unit Lexus sepanjang Jun 2022, berbanding 7,442 unit Toyota dan 137 unit Lexus pada bulan sebelumnya.
Syarikat turut mengumumkan jualan sebanyak 45,911 unit Toyota dan Lexus untuk separuh pertama tahun ini, meningkat daripada 34,111 unit sepanjang tempoh sama tahun lalu. Ini merupakan peningkatan sebanyak 35 peratus.
Pengumuman penamatan pengecualian cukai dijangka memberi kesan jangka pendek ke atas prestasi jualan. Namun, impak berkenaan dapat dikurangkan menerusi tanda-tanda pemulihan awal ke atas masalah bekalan semikonduktor dan mikrochip global.
Ini sekali gus dapat meningkatkan jumlah produksi dan pelancaran model-model baharu.
“Memasuki separuh kedua tahun 2022, fokus UMW Toyota Motor kini adalah untuk menawarkan Extra Miles kepada pelanggan dengan pengalaman pemilikan dan selepas jualan yang terbaik.
“Dengan tawaran pakej pembiayaan, insurans, servis dan bantuan tepi jalan 24/7, kami yakin dapat memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan bermula dari mereka melangkah masuk ke dalam bilik pameran kami,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
Seperti yang dimumkan sebelum ini, tempahan Toyota Veloz sudahpun dibuka. Jentera berkenaan hadir dengan enjin 1.5L AT, transmisi baharu dan talaan suspensi yang menjanjikan pemanduan lancar serta jimat bahan api.
Veloz juga dilengkapi sistem keselamatan Toyota Safety Sense (TSS), ketersambungan Apple CarPlay, Android Auto, pengecasan tanpa wayar dan banyak lagi.