VIDEO TERPALING BEST – PROSES PEMBUATAN VOLK RACING TE37 DARI AWAL SAMPAI AKHIR
Volk Racing TE37 memang antara rim paling lejen dan digemari ramai dalam dunia rim aftermarket. Rekaannya memang nampak simple dan bersih tapi jangan pandang ringan kerana ia memang cukup ringan dan kukuh. Tak payah nak banding la dengan rim Japan Design ataupun rim ehem-ehem korang tu. Percayalah rim berkualiti tinggi tak akan boleh dibeli dengan harga RM seribu dua.
Penciptanya, Rays Engineering bukan sebuah syarikat calang-calang di celah-celah kilang botol oren. Mereka merupakan syarikat kejuruteraan sebenar yang menghasilkan rim-rim OEM, jentera Formula 1 dan Le Mans. Kini mereka baharu sahaja mengeluarkan satu video khusus mengenai penghasilan rim TE37 dari seketul blok aluminium ke hasil seni yang berfungsi sepenuhnya.
Proses pembuatan rim mereka memang cukup mengasyikkan bagi peminat kereta macam kita semua. Ia bermula dengan ketulan aluminium berbentuk bulat yang dipanaskan ke 500°C dan ditempa dengan tiga acuan berbeza. Bentuk sebenar semakin jelas kelihatan selepas dikenakan tekanan sehingga 5 tan per cm². Ia bukan hanya memberi bentuk secara fizikal tetapi juga membentuk jaringan zarah-zarah aluminium untuk kekuatan.
Lebih menakjubkan ialah mesin-mesin yang digunakan. Punyalah banyak dan berteknologi tinggi tapi pada masa yang sama cukup berseni. Macam tengok proses pembuatan tembikar pun ada. Mesin yang digunakan memang tidak pernah dilihat dan merupakan hakmilik intelek Rays Engineering. Sebab tulah ada yang dikaburkan untuk melindungi rahsia perniagaan mereka.
Dalam proses pembuatan juga Rays Engineering melangkau jauh dari piawaian yang ditetapkan oleh JWL (badan yang mengawal selia semua rim buatan Jepun). Contohnya JWL menetapkan pusingan ketahanan radial sebanyak 500,000 pusingan tetapi Rays mempunyai piawaian mereka sendiri yang dinamakan “+R” dan ditetapkan pada 1,000,000 pusingan. Nampak tak betapa tinggi piawaian diorang.
Paling menarik sekali semestinya pada penghujung video di mana sentuhan manusia ataupun pekerja mahir masih diperlukan untuk mengesan sebarang cacat cela walaupun proses pembuatan dilakukan oleh komputer sepenuhnya.
Pekerja yang terpilih pula bukan calang-calang. Mereka memerlukan pengalaman bertahun-tahun dan memang mahir. Tak semestinya grad ijazah kelas pertama terus dapat kerja ni tahu.