
VOLKSWAGEN BORONG CERMIN KERETA. MAHU ELAK MASALAH BEKALAN DI EROPAH
Kita selalu mendengar tentang pembuat kereta terpaksa menghasilkan kenderaan tanpa ciri keselamatan dan kemudahan tertentu kerana masalah kekurangan semikonduktor, tetapi ancaman rantaian bekalan terkini kelihatannya lebih bermasalah.
Oleh sebab itu, Volkswagen dilapor membeli cermin hadapan kereta dalam jumlah yang banyak kerana bimbang Eropah akan mengalami kekurangan komponen tersebut.
Pembuat kereta biasanya bekerja secara tepat pada masanya untuk mengelak daripada mempunyai stok alat ganti yang banyak dan sudah tentu ia melibatkan kos. Wall Street Journal melaporkan bahawa Volkswagen membeli cermin depan dan tingkap secara pukal kerana berpendapat kos tenaga yang melambung tinggi di Eropah boleh mencetuskan kekurangan kaca di benua itu.
Berbeza dengan pengeluar seperti Aston Martin, Ferrari dan McLaren, pembeli Tiguan, puratanya tidak akan teruja dengan idea perlu memakai topi keledar atau cermin mata ketika memandu.

Perniagaan kereta bukanlah satu-satunya industri yang menekankan tentang potensi kekurangan kaca. WSJ melaporkan bahawa pembuat bir Jerman Brauerei C. & A. Veltins meninggalkan amalan biasa membeli botol sepanjang tahun kerana harga kaca telah meningkat sehingga 90 peratus. Pembuat bir itu sebaliknya membuat pesanan untuk 50 juta botol sekaligus untuk pengeluarannya sepanjang tahun.
Pengeluaran kaca memerlukan tenaga kerja yang tinggi, melibatkan pemanasan pasir, abu soda dan batu kapur bersama penggunaan gas asli. Malangnya, harga gas melonjak naik sejak Rusia menyerang Ukraine.
Kira-kira 40 peratus gas Jerman berasal dari Rusia yang harganya mungkin akan dinaikkan lagi pada musim sejuk. Rusia baru-baru ini mengumumkan ia akan menghentikan saluran paip Nord Stream 1 ke timur laut Jerman selama tiga hari untuk pembaikan.