
VOLVO SAH AKAN LANCAR EV C40 RECHARGE CKD KE MALAYSIA TAHUN INI!
Volvo Car Malaysia (VCM) mengesahkan bahawa ia akan melancarkan model EV C40 Recharge ke pasaran tempatan pada tahun ini.
Perkara itu diumumkan oleh Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump pada majlis pelancaran EV pertama Volvo, XC40 Recharge Pure Electric sebentar tadi.
Apa yang lebih menarik, C40 akan dipasang tempatan (CKD) dan akan menjadi hub untuk pasaran ke negara ASEAN. Ini menjadikan VCM sebagai pengeluar pertama yang memasang EV dalam negara.
Pengenalan model EV merupakan sebahagian daripada wawasan global Volvo untuk menjadi syarikat elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030.

VCM juga komited untuk melancarkan satu model EV baharu setiap tahun untuk tempoh lima tahun akan datang bermula 2022. Selain meletakkan sasaran untuk menjadi jenama kereta mewah elektrik terkemuka di Malaysia.
C40 Recharge merupakan model EV pertama yang dibina oleh Volvo berdasarkan kepada platform EV dan bukan daripada model sedia ada.
Tampil dengan rekaan crossover coupe, C40 Recharge digerakkan oleh motor elektrik berkembar yang dipasang pada setiap gandar.
Dikuasakan oleh bateri 78kWh, ia mampu bergerak sejauh 420km dengan sekali caj. Bateri itu juga boleh dicaj ke 80 peratus dalam masa 40 minit menggunakan pengecas pantas.
Masuk ke ruang kabin, tentera itu menawarkan posisi tempat duduk yang tinggi. Volvo akan memberi pilihan warna dan kemasan yang unik kepada pelanggan. Ia juga menjadi model pertama Volvo yang tidak menggunakan material kulit.

Dibangunkan bersama Google yang berasaskan kepada sistem operasi Android, ia menawarkan pelbagai aplikasi Google dan perkhidmataan binaan dalam. Antaranya ialah Google Maps, Google Assistant dan Google Play Store.
Data tanpa had pula menjanjikan ketersambungan terbaik. C40 Recharge akan menerima kemas kini secara over the air. Ini bermakna kenderaan tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa selepas keluar dari kilang.
VCM mensasarkan untuk mempercepatkan transformasinya ke arah elektrifikasi dengan sumbangan 75 peratus daripada barisan kenderaan elektrik penuhnya menjelang 2025.
“Menjelang pertengahan dekad ini, kami meletakkan sasaran untuk mengurangkan keseluruhan pelepasan kitaran hayat CO2 bagi setiap kereta sebanyak 40 peratus.
“Untuk mencapai usaha ini, ia lebih daripada sekadar mengurangkan pelepasan emisi ekzos melalui elektrifikasi. Malah melibatkan pengurangan pelepasan CO2 merentasi operasi dan rantaian bekalan kami,” jelas Frump.
- BACA: SUSPENSI BELAKANG VOLVO GUNA LEAF SPRING? BUKAN MULTI-LINK?
- BACA: PANDU UJI: VOLVO V60 RECHARGE, WAGON SUPER SEKSI.
- BACA: VOLVO XC40 RECHARGE RASMI DILANCARKAN. 408HP, 418KM SEKALI CAJ. HARGA UMUM 4 APRIL 2022
- BACA: VOLVO C40 RECHARGE. EV PERTAMA VOLVO, VERSI COUPE XC40, 420KM SEKALI CAJ, JUAL SECARA DALAM TALIAN SAHAJA