
VOLVO XC40 RECHARGE RASMI DILANCARKAN. 408HP, 418KM SEKALI CAJ. HARGA UMUM 4 APRIL 2022
Selepas Hyundai dan Mercedes-Benz memperkenalkan jentera elektrik masing-masing, kini tiba giliran Volvo Cars Malaysia untuk menyertai pasaran EV tempatan yang kian meriah.
Volvo Cars Malaysia memulakan penawaran portfolio kenderaan elektrik di Malaysia dengan pelancaran model terbaharu Volvo XC40 Recharge 2022 yang sememangnya ditunggu ramai.
Sebagai permulaan, pengeluar kenderaan dari Sweden itu menawarkan Volvo XC40 Recharge sebelum model-model lain diperkenalkan. Harus tahu bahawa EV berkenaan merupakan unit pemasangan tempatan (CKD). Ini menjadikan Volvo Cars Malaysia sebagai pengeluar pertama memasang EV di Malaysia.
Lebih menarik lagi, Volvo Cars Malaysia komited untuk melancarkan model EV baharu pada setiap tahun selama lima tahun.

Volvo XC40 Recharge dikuasakan oleh rangkaian motor elektrik berkembar yang mampu menjana kuasa 408 hp dan daya kilas 660 Nm.
Menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD), Volvo XC40 Recharge berupaya memecut 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat. Sementara kelajuan tertinggi dihadkan kepada 180 km/j sahaja.
Pek bateri 78 kWh menawarkan jarak pemanduan sejauh 418 km untuk sekali cas. Menyokong pengecasan pantas 150 kW, ini membolehkan SoC bateri mencapai 80 peratus dalam tempoh 40 minit sahaja.

Menjengah ke ruang kabin, anda akan dihidangkan dengan susun atur yang sama seperti model XC40 standard.
Cuma apa yang berbeza ialah sistem infotainmen 12.3 inci itu kini menyokong sistem operasi Android Automotive OS yang membolehkan segala fungsi Google diakses oleh pemandu.
Selain ruang kargo sebesar 413 liter di bahagian tempat duduk belakang, pembeli juga boleh mendapatkan ruang kargo tambahan di bahagian frunk sebesar 31 liter.
Jika berminat, harga Volvo XC40 Recharge EV hanya akan diumumkan pada 4 April 2022. Tempahan juga bermula dari tarikh sama.
- BACA: BAGAIMANA TOMBOL GEAR KRISTAL DIHASILKAN UNTUK VOLVO?
- BACA: PANDU UJI: VOLVO XC40, SUV RASMI UNTUK THOR DAN ASGARD
- BACA: VOLVO C40 RECHARGE. EV PERTAMA VOLVO, VERSI COUPE XC40, 420KM SEKALI CAJ, JUAL SECARA DALAM TALIAN SAHAJA
- BACA: TERLUPA AKTIFKAN PERISIAN, VOLVO XC40 RECHARGE TERSADAI DI PELABUHAN AMERIKA