Buletin

VW GOLF GTI FACELIFT 2023 KINI DI MALAYSIA. CIRI ADAS  IQ. DRIVE, BERMULA RM245K

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini memperkenalkan Golf GTI yang telah dikemas kini dan dilengkapi IQ. Drive, satu Sistem Bantuan Pemandu (ADAS) inovatif. Golf GTI baharu kini hadir dengan harga cadangan bermula RM244,990.

Sistem IQ. Drive direka untuk membantu pemandu menjadikan perjalanan mereka lebih selamat dan selesa. Antara ciri-ciri keselamatan termaju termasuklah Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC) yang menggunakan radar serta pelbagai alat pengesan untuk mengesan kenderaan di hadapan. 

Tidak ketinggalan ciri Side Assist yang berfungsi sebagai pemantau titik buta dan Rear Cross Traffic Alert yang memberi amaran kepada pemandu tentang potensi bahaya apabila gear undur diaktifkan.

Golf GTI juga hadir dengan Front Assist yang merupakan ciri Autonomous Emergency Braking (AEB). Ia menggunakan satu unit sensor radar yang diintegrasikan pada bahagian hadapan kenderaan untuk sentiasa memantau jarak kereta di hadapan. 

Selain mengesan kenderaan, versi terbaharu ciri Front Assist turut mengenal pasti kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal yang melintas jalan. Fungsi Lane Assist pula memastikan pemandu sentiasa berada dalam laluan yang betul dengan menggunakan ciri bantuan pengekalan lorong berasaskan kepada kamera. 

Sekiranya kenderaan bergerak ke lorong lain ketika lampu isyarat membelok digunakan oleh pemandu, sistem ini akan berfungsi secara automatik dengan menarik semula stereng kembali ke lorong yang betul. Bukan itu sahaja, terdapat juga fungsi Adaptive Lane Guidance yang memastikan kenderaan sentiasa berada di tengah-tengah lorong setelah sistem belajar daripada corak pemanduan pemandu.

Cukup dikenali sebagai sebuah hot hatchback sebenar, Golf GTI kini dilengkapi pelbagai ciri baharu pada bahagian dalaman dan luaran. 

Golf GTI dapat dikenali dengan mudah menerusi gril hadapan jenis sarang lebah dan kemasan GTI berwarna merah yang menjadi sudah menjadi signaturnya. Jentera itu dipasang dengan rim aloi Richmond bersaiz 18 inci bersama angkup brek berwarna merah, serta lampu utama dan belakang LED. 

Tidak ketinggalan lampu kabus, cermin sisi boleh laras bersama ciri pemanas dan penambahan sehingga tujuh beg udara. Dengan gayaannya yang ikonik, GTI pasti mendapat perhatian di mana sahaja ia dipandu.

Ruang kerja pemandu atau Driver’s Workspace merupakan landskap dalaman digital sepenuhnya yang menawarkan kemudahan dan ketersambungan lancar. Ia terdiri daripada Digital Cockpit bersaiz 10.25” generasi baharu dengan pelbagai tema warna dan pandangan, termasuklah rekaan khas GTI.

Ia juga dilengkapi stereng multi fungsi dengan kawalan sentuh haptik dan ciri pemanas. Sistem infohibur Discover Media termaju bersaiz 10” yang dipasang pada tengah papan pemuka menawarkan paparan navigasi 3D binaan dalam, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta tujuh unit pembesar suara berkualiti tinggi.

Sistem pengecaman dan kualiti suara (untuk panggilan telefon) kini lebih lancar kerana ia mampu mengenal pasti individu yang sedang bercakap (pemandu atau penumpang hadapan) dan memberi maklum balas sewajarnya. Sebagai contoh, ia mampu mengenal pasti zon mana suhu dalaman perlu diubah suai.

Ciri-ciri baharu lain termasuklah pengecasan tanpa wayar, serta sulaman logo GTI pada tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan. 

Hatchback ikonik ini menawarkan ruang yang luas untuk seisi keluarga. Ruang barangan seluas 374 liter itu boleh menempatkan peralatan sukan dan rekreasi bersaiz besar. Satu lagi ciri pintar yang ada pada kenderaan ini ialah akses pantas kerana pintu akan dibuka secara automatik apabila kunci dikesan berada dalam zon berhampiran. 

Golf GTI juga didatangkan dengan Indikator Tekanan Tayar yang akan memberi amaran jika tekanan udara tayar semakin kurang.

Golf GTI mengutamakan keterujaan dalam setiap pemanduan yang ditawarkan oleh enjin turbo berkuasa 245PS dan tork 370Nm. Ia menjanjikan pengalaman pemanduan mengujakan dan sukar dilupakan bersama penambahan beberapa ciri keselamatan untuk pemandu.

Ciri-ciri keselamatan lain termasuklah ESC (Electronic Stability Control); Post Collision Braking System yang menghalang berlakunya pelanggaran kedua; Electronic Differential Lock (XDS) berfungsi menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan understeer; enam beg udara untuk perlindungan pasca pelanggaran dan banyak lagi.

Bersedialah untuk merasai kawalan dan pengalaman pengendalian luar biasa dengan Kekunci Pembeza Hadapan (Front Differential Lock) Golf GTI. Terima kasih kepada kemampuannya untuk mencengkam permukaan jalan dengan lebih baik ketika mengambil selekoh. 

Kekunci Pembeza Hadapan sememangnya satu ciri sempurna untuk pemandu yang mahukan maklum balas dan kawalan lebih baik di atas jalan raya.

Jika berminat, Golf GTI 2023 hadir dalam lima warna ditawarkan iaitu merah (Kings Red) dan biru (Atlantic Blue) dalam kemasan metalik; kelabu (Moonstone Grey) bukan metalik, selain warna hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) mutiara.

Google ads
Back to top button