Motosikal

YAMAHA YZF-R15M RASMI DILANCARKAN. 155CC, 2 PILIHAN WARNA, BERMULA RM15K

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan model supersports terbaharunya, Yamaha YZF-R15M ke pasaran tempatan.

Mengambil inspirasi daripada jentera bersesaran lebih besar iaitu Yamaha YZF-R1M, motosikal tampil garang dan bergaya.

Didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Signature M dan Monster Energy Edition, YZF-R15M ditawarkan pada harga bermula RM14,998 seunit.

Motosikal itu dikuasakan oleh enjin bersesaran 155cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair. Dipadankan dengan sistem pancitan bahan api Variable Valve Actuation (VVA), ia mampu menjana kuasa sekitar 18.3hp dan tork 14.1Nm.

Keseronokan menunggang jentera itu ditingkatkan lagi dengan sistem kawalan cengkaman, klac assist dan klac slipper. YZF-R15M juga menjadi model dengan enjin silinder tunggal pertama yang dilengkapi ciri quick shifter (upshift sahaja).

Reka bentuk jenis upper triple clamp pula menawarkan keseimbangan terbaik dari segi kekuatan dan ketegarannya.

Tugas membrek diserahkan kepada sistem brek anti kunci(ABS) dua saluran. Ini membolehkannya menerima penarafan lima bintang daripada MIROS di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).  

Dari segi gayaan, YZF-R15M direka bersama fairing yang dinamik bersama windscreen. Wajahnya diserlahkan lagi dengan lampu utama LED dwi-fungsi. Motosikal itu juga dipasang dengan panel instrumen LCD baharu yang memaparkan mode Street dan Track.  

Bukan itu sahaja, ia dilengkapi ciri Yamaha Y-Connect dan balutan pelana seperti karbon.

Apa yang menarik, pelanggan YZF-R15M akan didaftarkan secara automatik ke dalam program M-CRU. Keahlian eksklusif itu membolehkan mereka mengambil bahagian dalam pelbagai acara seperti track day, kursus tunggangan, konvoi MotoGP dan menerima barangan M-CU.

YZF-R15M akan berada di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 30 Jun 2022. Setiap pembelian akan dihadiahkan dengan kotak hadiah misteri M-CRU dan kunci keselamatan.

GALERI

Google ads
Back to top button