
2.4 JUTA RAKYAT MALAYSIA TIDAK LAYAK TERIMA BUDI95
Sejumlah 2.4 juta rakyat Malaysia hilang kelayakan menerima Bantuan Budi Madani RON95 (BUDI95) susulan status Lesen Memandu Kompeten (CDL) mereka terbatal kerana tamat tempoh melebihi tiga tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), daripada kira-kira 15 juta lesen yang masih aktif, terdapat 925,421 yang tamat tempoh lesennya tidak melebihi tiga tahun.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 551,688 lesen tamat tempoh kurang setahun, 219,092 (antara satu hingga dua tahun), manakala 154,641 (antara dua hingga tiga tahun).

“Golongan ini diseru supaya segera memperbaharui lesen memandu mereka, khususnya 154,641 individu yang hampir mencapai had tiga tahun.
“Jika tempoh melebihi tiga tahun, mereka bukan sahaja hilang kelayakan subsidi BUDI95 kerana sistem Kementerian Kewangan akan menyekat secara automatik, malah perlu menduduki semula ujian memandu bahagian dua dan tiga,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, sejak pengumuman berkaitan BUDI95 pada 22 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan sebanyak 26,991 transaksi pembaharuan CDL menerusi pelbagai saluran termasuk aplikasi MyJPJ, MySingCard, kios, dan kaunter JPJ di seluruh negara.
“Orang ramai diingatkan supaya menyemak tarikh tamat tempoh lesen masing-masing dan memperbaharui segera.
“Kini proses pembaharuan cukup mudah, malah menerusi aplikasi MyJPJ hanya mengambil masa kurang dua minit untuk diperbaharui,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan petrol RON95 pada harga RM1.99 bermula 30 September ini bagi rakyat tempatan. Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 bermula tarikh sama. – Awani