Buletin

YAMAHA YZF-R1 DAN YZF-R6 RACE BASE 2026, TEMPAHAN DIBUKA DI JEPUN, RM70 RIBU, RM39 RIBU

Yamaha memperkenalkan dua model perlumbaan baharu iaitu YZF-R1 Race Base Model 2026 dan YZF-R6 Race Base Model 2026.

Kedua-duanya dibangunkan khusus untuk perlumbaan jalanan dan kegunaan litar sahaja dan tersedia pada 27 Februari 2026.

Kedua-dua model ini hanya boleh diperoleh menerusi tempahan terhad (made-to-order) di pengedar sah model perlumbaan Yamaha di seluruh Jepun.

YZF-R1 Race Base Model 2026

Model ini berasaskan YZF-R1 spesifikasi Eropah 2025. Ia mengekalkan beberapa ciri utama yang sudah terbukti. Di antaranya ialah sayap aerodinamik yang membantu kestabilan motosikal.

Selain itu, ia dilengkapi suspensi hadapan KYB dengan pelaras redaman mampatan dan lantunan bebas kiri serta kanan untuk kawalan lebih tepat.

Turut dipasang ialah sistem brek hadapan Brembo yang terdiri daripada angkup monoblok Stylema® dan silinder induk jenis radial, bagi memberikan rasa kawalan yang lebih baik.

Tempat duduk turut menggunakan balutan khas untuk meningkatkan cengkaman serta sokongan. Yamaha memaklumkan tiada perubahan berbanding model sebelumnya.

Harga pengeluar bagi YZF-R1 Race Base Model ditetapkan pada ¥2,442,000 (RM69,126), terdiri daripada harga asas ¥2,220,000 (RM62,842) dan cukai pengguna ¥222,000 (RM6,284).

Warna yang ditawarkan ialah Matte Dark Gray Metallic 6 (Matte Dark Gray).

Untuk pesanan awal, fasa pertama berlangsung dari 4 hingga 18 September 2025 dengan penghantaran motosikal dan kit komponen bermula pada 27 Februari 2026.

Fasa kedua bermula dari 19 September hingga 28 November 2025, dengan penghantaran dijadualkan pada akhir April 2026.

Model ini dikeluarkan tanpa beberapa kelengkapan jalan raya seperti tiada lampu utama, lampu posisi dan lampu belakang.

Ia juga tidak disertakan dengan madgad, hon, pelana penumpang serta pemijak kaki penumpang.

Selain itu, fender belakang, cermin sisi dan lampu isyarat membelok turut tidak dipasang dan grafik pelekat. Kit perkakas penyelenggaraan juga tidak dibekalkan.

Bagaimanapun, pembeli akan menerima set wayar (wire harness) dan ECU (FI matching software) untuk kegunaan perlumbaan, yang dihantar berasingan daripada badan motosikal.

Dua jenis ECU disediakan iaitu untuk JSB-EWC SBK atau ST1000-SST, bergantung kepada keperluan pelanggan.

YZF-R6 Race Base Model 2026

Sama seperti R1, model YZF-R6 Race Base Model turut dikeluarkan khusus untuk kegunaan litar.

Ia berasaskan YZF-R6 spesifikasi Eropah 2020 dan mengekalkan ciri utama tanpa sebarang perubahan daripada model sebelumnya.

Selain peranti elektronik seperti sistem kawalan cengkaman dan penukar gear cepat, ia turut mengekalkan penggunaan suspensi hadapan dan sistem brek yang sama dengan YZF-R1 Race Base (model 2024).

Harga pengeluar YZF-R6 Race Base Model pula ialah ¥1,375,000 (RM38,922), terdiri daripada harga asas ¥1,250,000 (RM35,384) dan cukai pengguna ¥125,000 (RM3,538).

Ia turut ditawarkan dalam warna Matte Dark Gray Metallic 6 (Matte Dark Gray).

Tempoh pra-tempahan adalah sama dengan YZF-R1.

Fasa pertama bermula 4 hingga 18 September 2025, dengan penghantaran pada 27 Februari 2026, manakala fasa kedua dari 19 September hingga 28 November 2025, dengan penghantaran bermula akhir April 2026.

YZF-R6 Race Base Model juga tidak dilengkapi lampu utama, lampu posisi, cermin sisi, hon, pelana penumpang, pemijak kaki penumpang, fender belakang, grafik pelekat dan kit perkakas penyelenggaraan.

Sama seperti R1, pembeli menerima set wayar dan ECU untuk kegunaan litar, yang dihantar berasingan daripada motosikal.

Model ini juga tidak diluluskan untuk jalan awam, maka tidak boleh digunakan di luar litar. Ia turut tidak termasuk dalam jaminan.

Google ads
Back to top button