Buletin

AUTO CONNEXION-FORD PERKUKUH PERANAN SOSIAL, LEBIH 600 PENERIMA DIBANTU

Sime Darby Auto ConneXion-Ford sekali lagi memperlihatkan komitmennya terhadap kesejahteraan masyarakat melalui pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah payung global Ford Building Together.

Berteraskan semangat membina masa depan secara kolektif, program ini memberi manfaat kepada lebih 600 individu daripada golongan memerlukan di empat negeri – Lembah Klang, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

Kempen selama 11 hari itu menumpukan bantuan makanan serta perkhidmatan kesihatan asas, dengan sokongan 55 sukarelawan Ford.

Melalui penyelarasan rapi bersama MyFundAction, Yayasan Sime Darby dan Ford Philanthropy, pasukan klinik bergerak Ford turun padang ke kawasan terpilih untuk mendekati kumpulan rentan.

Antara kumpulan yang menerima manfaat termasuk keluarga B40, ibu tunggal, individu OKU, komuniti Asnaf serta masyarakat Orang Asli, semuanya dipilih atas keperluan mendesak mereka terhadap bantuan berimpak tinggi. Agihan dilakukan mengikut lokasi seperti berikut:

  • Lembah Klang: 200 penerima di Pangsapuri Putra Ria dan Abdullah Hukum
  • Pulau Pinang: 100 penerima di sekitar George Town dan Jalan Patani
  • Ipoh: 150 penerima di Sungai Rokam
  • Kuantan: 150 penerima daripada masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Bungor, Gambang

Menurut Pengurus Kanan Ford Philanthropy, Jane Holloway, misi Ford tidak pernah terbatas kepada pembangunan kenderaan semata-mata.

“Kami percaya perubahan bermula apabila semua pihak berganding bahu. Inisiatif ini menggambarkan keyakinan kami bahawa kerjasama mampu membawa impak yang berkekalan,” katanya.

Pelaksanaan program tahun ini turut menampilkan Klinik Bergerak Ford yang diperkenalkan pada Februari lalu, membawa doktor dan petugas perubatan ke kawasan luar bandar untuk menyediakan pemeriksaan asas serta khidmat kesihatan primer.

Pengarah Urusan Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair Nahason Affan, menjelaskan bahawa usaha tempatan ini mencerminkan semangat global Ford Building Together.

“Kami bukan sekadar menyampaikan bantuan, malah mahu memanfaatkan kepakaran tenaga kerja dan rangkaian pengedar Ford di seluruh negara bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti,” katanya.

Beliau turut mengakui dedikasi para sukarelawan dan sokongan rakan kerjasama yang menjadi tulang belakang kejayaan program ini.

“Setiap usaha kecil memberi makna besar kepada mereka yang memerlukan. Kami akan terus komited untuk membawa impak positif secara konsisten,” tambahnya.

Inisiatif di Malaysia ini juga menyumbang kepada kejayaan Global Caring Month, program sukarelawan tahunan Ford yang turut menganjurkan Kempen Derma Makanan Pengedar Automotif Terbesar Dunia.

Secara keseluruhan, rangkaian global Ford berjaya mengumpulkan lebih 2 juta paun (lebih 907,000 kg) bekalan makanan, jauh mengatasi sasaran asal 500,000 kg.

Program terbaharu ini meneruskan legasi Auto ConneXion-Ford dalam membantu masyarakat, selepas kejayaan projek seperti penyediaan air bersih di Gerik dan usaha kebajikan melalui Operation Better World di Kuala Lumpur.

Google ads
Back to top button