
SHELL APP KINI INTEGRASI BUDI95 – PENGGUNA LAYAK BOLEH PERIKSA, GUNA KUOTA SUBSIDI
Aplikasi Shell kini membolehkan pengguna yang layak menikmati subsidi BUDI Madani RON95 (BUDI95) terus ketika membuat bayaran petrol melalui telefon pintar.
Walau bagaimanapun, sebelum BUDI95 boleh digunakan, pengguna perlu memautkan aplikasi Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) dengan Shell App terlebih dahulu.

Proses ini bukan untuk tujuan pembayaran menggunakan TNG eWallet, tetapi sekadar bagi pengesahan identiti dan kelayakan subsidi. Pembayaran petrol di Shell App ketika ini hanya menyokong kad kredit atau debit, manakala Shell Card pula terhad kepada pelanggan korporat.
Pengguna yang telah menjalani proses eKYC di TNG eWallet dan disahkan layak boleh mengikuti langkah di bawah:
- Pada skrin utama Shell App, tekan butang Check BUDI95.
- Tekan Continue pada paparan Access BUDI95 untuk memulakan proses pautan.
- Aplikasi akan meminta anda menambah kad kredit atau debit. Jika sudah ditambah, Shell App akan membuka aplikasi TNG eWallet secara automatik.
- Pada TNG eWallet, tandakan kotak kebenaran dan tekan Agree.
- Masukkan nombor MyKad dan tekan Proceed.
- Isikan kod OTP enam digit yang dihantar ke telefon anda.
- Selesaikan pengesahan wajah (face recognition).
- Paparan “Authorisation successful” akan muncul.
Untuk mengesahkan BUDI95 telah berjaya diaktifkan, tekan sekali lagi Check BUDI95 pada skrin utama Shell App. Jika berjaya, anda akan melihat butang View balance, bukannya Continue.

Tekan View balance untuk melihat baki kuota subsidi BUDI95 yang masih tersedia.
Selepas BUDI95 diaktifkan, ia boleh digunakan melalui ciri Pay for Fuel dalam aplikasi:
- Tekan Pay for fuel pada skrin utama.
- Tekan Ok, got it pada mesej keselamatan.
- Aplikasi akan mengesan lokasi anda. Pastikan anda berada di stesen Shell dan masukkan nombor pam.
- Pilih jumlah petrol dan pastikan pilihan BUDI95 diaktifkan sebelum menekan Confirm payment.
- Paparan “Pump is ready” akan muncul.
- Terminal pembayaran di pam juga akan memaparkan arahan untuk mengangkat nozzle dan mula mengisi minyak.
- Anda mempunyai sekitar empat minit untuk melengkapkan proses pengisian.

Dengan integrasi baharu ini, pengguna bukan sahaja dapat mengisi minyak dengan lebih mudah, tetapi juga boleh memantau dan menggunakan kuota subsidi BUDI95 secara terus melalui telefon, menjadikan pengalaman di stesen Shell lebih lancar dan efisien.









