
BHPETROL PAROI DIRASMIKAN: PROGRAM ISI MINYAK PERCUMA UNTUK PENUNGGANG MOTOSIKAL RAI PEMBUKAAN
Bagi meraikan pembukaan rasmi stesen terbaharu di Paroi, BHPetrol baru-baru ini telah menganjurkan program pengisian minyak percuma khas untuk penunggang motosikal.
Majlis perasmian tersebut turut menandakan kemasukan rasmi BHPetrol Paroi sebagai stesen ke-23 syarikat itu di Negeri Sembilan sejak mula beroperasi pada Ogos lalu.
Stesen baharu ini menyediakan rangkaian bahan api berkualiti tinggi termasuk Infiniti Petrol 95, 97, Diesel B10 dan Diesel B7, sekali gus memastikan pengguna di kawasan Seremban menikmati bekalan petrol yang stabil dan bersubsidi melalui inisiatif BUDI95.

Usaha ini dilihat seiring dengan matlamat kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Selain menawarkan bahan api premium, BHPetrol Paroi turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelanggan seperti BHPetromart, ruangan solat, Apacaba Bakery, perkhidmatan ePay dan bilik air yang luas serta bersih.
Tambahan, lokasinya yang strategik menjadikan stesen ini antara hentian baharu pilihan utama pengguna jalan raya di sekitar Seremban.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan merangkap ADUN Lenggeng, YB Datuk Hj Mohd Asna bin Hj Amin, bersama Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Ir. Azizul Azily Ahmad.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Polis Daerah Seremban, YDH ACP Mohammad Hatta bin Che Din, Ketua Polis Balai Paroi, SM Mohd Iskandar bin Adam serta tetamu jemputan lain.
Menurut Ir. Azizul Azily, program pengisian minyak motosikal ini adalah simbol penghargaan kepada masyarakat setempat selain memperkukuh hubungan antara BHPetrol dan komuniti.

“Inisiatif ini bukan sekadar promosi, tetapi manifestasi komitmen kami untuk menyokong aspirasi kerajaan melalui program BUDI95, yang membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah menikmati harga petrol bersubsidi.
“Kami berharap usaha ini memberi manfaat bersama serta impak positif kepada masyarakat dan pengguna secara keseluruhan,” ujarnya.
BHPetrol turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan terus memberi sokongan kepada jenama tempatan itu, sambil menegaskan komitmen berterusan untuk menyediakan bahan api berkualiti serta perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.


