Buletin

BYD CERTIFIED DILANCARKAN, JAMINAN KUALITI EV TERPAKAI

BYD Sime Motors memperkenalkan BYD Certified, program rasmi kenderaan elektrik (EV) terpakai diperakui yang bertujuan memberikan keyakinan lebih tinggi kepada pengguna untuk memiliki EV terpakai dengan jaminan kualiti, ketelusan dan sokongan selepas jualan.

Pelancaran itu turut menyaksikan pembukaan pusat BYD Certified pertama di rantau Asia Pasifik yang beroperasi di Sime Darby Auto Selection Glenmarie, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pasaran penting dalam strategi perkembangan BYD di rantau ini.

Program tersebut menawarkan lebih daripada sekadar jualan kenderaan terpakai kerana setiap unit menjalani pemeriksaan menyeluruh, disertakan penilaian tahap kesihatan bateri, perlindungan waranti, kemudahan pembiayaan serta rangkaian perkhidmatan selepas jualan.

Majlis pelancaran itu turut mencatat sejarah apabila sebuah BYD ATTO 3 terpakai yang diperakui diserahkan kepada pelanggan pertama di bawah program berkenaan.

Bagi memastikan setiap kenderaan memenuhi piawaian yang ditetapkan, BYD Certified memperkenalkan lima jaminan utama yang menjadi asas kepada proses pensijilan.

Lima Jaminan BYD Certified:

  • Pemeriksaan menyeluruh merangkumi 170 titik pemeriksaan oleh juruteknik bertauliah.
  • Hanya kenderaan dengan jarak perjalanan tidak melebihi 100,000 kilometer layak diperakui.
  • Umur kenderaan mestilah tidak melebihi empat tahun mengikut had perbatuan berikut:
    1 tahun – maksimum 30,000km
    2 tahun – maksimum 60,000km
    3 tahun – maksimum 90,000km
    4 tahun – maksimum 100,000km
  • Rekod kenderaan dijamin bersih tanpa kemalangan besar, kerosakan akibat banjir atau kebakaran serta tiada manipulasi bacaan odometer.
  • Sebarang kerja baik pulih menggunakan alat ganti tulen BYD mengikut piawaian pengeluar.

Selain jaminan terhadap keadaan kenderaan, pelanggan turut menikmati beberapa manfaat tambahan yang menjadikan proses pemilikan EV lebih mudah dan meyakinkan.

Antaranya ialah jaminan pembelian semula dalam tempoh lima hari sekiranya didapati terdapat kerosakan struktur, kesan banjir atau kebakaran yang tidak didedahkan semasa jualan.

Pemilik juga mendapat akses kepada rangkaian pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) BYD di seluruh negara bagi urusan penyelenggaraan dan tuntutan waranti.

Pada masa sama, pemilik sedia ada BYD boleh menggunakan platform tukar beli rasmi yang menawarkan penilaian telus untuk menaik taraf kepada model BYD lain dalam ekosistem jenama tersebut.

Pusat BYD Certified di Sime Darby Auto Selection Glenmarie menyediakan perkhidmatan lengkap termasuk jualan kenderaan, semakan pensijilan, tukar beli, pembiayaan, waranti serta sokongan selepas jualan.

Bagi memudahkan lebih ramai pengguna memiliki EV, BYD Certified turut menawarkan kadar pembiayaan khas bermula serendah 2.03 peratus, sekali gus meningkatkan lagi nilai serta keyakinan terhadap pasaran kenderaan elektrik terpakai di Malaysia.
 

Google ads
Back to top button