
FERRARI AMALFI SPIDER DIPERKENALKAN – JANA 640HP, 0-100KM/J 3.3 SAAT
Ferrari Malaysia memperkenalkan Ferrari Amalfi Spider, model bumbung terbuka yang menggantikan Roma Spider dalam barisan grand tourer jenama Itali itu.
Model baharu ini mengekalkan karakter elegan versi coupe, namun menawarkan pengalaman pemanduan terbuka yang lebih mengasyikkan dengan gabungan prestasi tinggi dan teknologi moden.
Antara tarikan utama model ini ialah bumbung fabrik boleh lipat yang menggunakan sistem Z-fold. Ia boleh dibuka atau ditutup dalam masa hanya 13.5 saat ketika kenderaan bergerak sehingga 60km/j.
Rekaan lipatan yang padat membolehkan ruang butal kekal praktikal dengan kapasiti 172 liter apabila bumbung dibuka dan 255 liter apabila ditutup.

Ferrari turut memberi perhatian kepada keselesaan kabin. Bumbung fabrik lima lapisan direka untuk memberikan tahap penebatan bunyi dan haba yang setanding dengan bumbung keras boleh lipat.
Selain itu, penghadang angin elektrik yang dipasang pada bahagian belakang tempat duduk membantu mengurangkan aliran udara ke dalam kabin ketika memandu dengan bumbung terbuka, malah boleh digunakan sehingga kelajuan 170km/j.
Spesifikasi Ferrari Amalfi Spider
- Enjin V8 3.9 liter turbo berkembar
- Kuasa maksimum: 640hp
- Tork maksimum: 760Nm
- Transmisi klac berkembar (DCT) 8-kelajuan
- Pecutan 0-100km/j: 3.3 saat
- Pecutan 0-200km/j: 9.4 saat
- Kelajuan maksimum: 320km/j
- Berat keseluruhan: 1,556kg
- Bumbung boleh buka/tutup dalam 13.5 saat
- Operasi bumbung pada kelajuan sehingga 60km/j
- Kapasiti butal: 172 liter (bumbung terbuka), 255 liter (bumbung tertutup)
Dari aspek dinamik pemanduan, Amalfi Spider dilengkapi sistem brek-by-wire, ABS Evo serta Side Slip Control 6.1 yang menguruskan agihan tork dan kestabilan badan kenderaan. Sistem stereng kuasa elektrik yang diadaptasi daripada Ferrari 296 GTB turut menerima peningkatan keupayaan mengesan tahap cengkaman tayar dengan lebih pantas.

Rekaan luarannya hampir sama dengan versi coupe, termasuk spoiler belakang aktif yang mempunyai tiga mod aerodinamik berbeza serta diffuser belakang yang dioptimumkan untuk meningkatkan aliran udara. Bahagian belakang turut menerima bibir aerodinamik kecil bagi membantu kestabilan pada kelajuan tinggi.
Di ruang kabin, susun atur dwi-kokpit dikekalkan dengan tumpuan kepada pengalaman pemandu dan penumpang hadapan. Ferrari juga kembali menggunakan butang fizikal pada stereng bersama butang mula enjin aluminium ikonik, menggantikan kawalan sentuhan yang digunakan sebelum ini.
Kelengkapan utama
- Paparan instrumen digital 15.6-inci
- Skrin sentuh tengah 10.25-inci
- Paparan penumpang 8.8-inci (optional)
- Spoiler belakang aktif tiga mod
- Penghadang angin elektrik bersepadu
- Sistem stereng elektrik berprestasi tinggi
- Brek-by-wire dan ABS Evo
- Side Slip Control 6.1
Sebagai nilai tambah kepada pemilik, Ferrari turut menawarkan program penyelenggaraan selama tujuh tahun yang merangkumi servis berkala mengikut jadual rasmi pengeluar, sama ada setiap 20,000km atau sekali setahun.
GALERI:



















