
LOTUS PERKENAL TIGA MODEL BERPRESTASI TINGGI BAHARU UNTUK PASARAN CHINA
Lotus memperkukuhkan kedudukannya dalam pasaran China dengan pelancaran tiga model baharu yang merangkumi segmen kereta sport enjin pembakaran dalaman (ICE), sedan elektrik berprestasi tinggi dan SUV elektrik berprestasi tinggi.
Barisan model tersebut terdiri daripada Emira 420 Sport, Emeya 900 Gold dan Eletre 900 Gold.
Emira 420 Sport ditawarkan pada harga antara 988,000 yuan hingga 1.188 juta yuan (sekitar RM580,000 hingga RM700,000), manakala Emeya 900 Gold dan Eletre 900 Gold masing-masing bermula pada harga 918,000 yuan dan 928,000 yuan.
Penghantaran Emira 420 Sport dijadualkan bermula Oktober ini.

Emira 420 Sport: Fokus Prestasi Litar
Dikenali sebagai varian paling berkuasa dan paling ringan dalam keluarga Emira, model ini dibangunkan untuk memberikan pengalaman pemanduan ala jentera litar yang masih sesuai digunakan di jalan raya.
Lotus melakukan pelbagai penambahbaikan aerodinamik termasuk reka bentuk semula sistem pengudaraan hadapan bagi meningkatkan aliran udara ke radiator serta kecekapan penyejukan brek. Ketinggian badan juga direndahkan sebanyak 5mm berbanding Emira Turbo SE.
Pada kelajuan 300km/j, perubahan aerodinamik tersebut menghasilkan tambahan daya tekan (downforce) sebanyak 25kg di bahagian belakang tanpa menjejaskan rintangan udara.
Penggunaan sistem ekzos titanium dan bateri lithium ringan membantu mengekalkan berat serendah 1,430kg, manakala pakej ringan pilihan mampu mengurangkannya lagi sebanyak 25kg.
Kuasa disalurkan menerusi enjin AMG M139 2.0 liter turbo empat silinder yang dipasang di tengah, menghasilkan 420hp dan 500Nm tork.
Digandingkan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan, Emira 420 Sport mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 300km/j.
Emeya 900 Gold: Sedan Elektrik Berkuasa Tinggi

Emeya 900 Gold hadir dengan pakej aerodinamik aktif sepenuhnya yang merangkumi gril aktif, spoiler belakang aktif, diffuser aktif dan sistem suspensi adaptif yang bertindak balas mengikut kelajuan serta mod pemanduan.
Model ini menggunakan hampir 62 komponen gentian karbon yang meliputi lebih 6 meter persegi permukaan badan. Ia dikuasakan oleh sistem pacuan semua roda dua motor berasaskan seni bina 800V dengan output gabungan 918hp dan 985Nm.
Tenaga disimpan dalam bateri CATL NCM berkapasiti 102kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 530km mengikut kitaran CLTC. Pecutan 0-100km/j hanya mengambil masa 2.78 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 256km/j.
Teknologi pengecasan pantas 420kW membolehkan tambahan jarak sekitar 180km diperoleh dalam masa lima minit sahaja.
Bahagian kabin pula dilengkapi dua cip Qualcomm Snapdragon 8155 yang menjalankan sistem Hyper OS, skrin OLED 15.1-inci dan paparan realiti terimbuh (AR-HUD) bersaiz setara 55-inci.
Eletre 900 Gold: SUV Elektrik Prestasi Tinggi

Bagi peminat SUV berprestasi tinggi, Lotus memperkenalkan Eletre 900 Gold yang berkongsi platform 800V serta trenkuasa sama seperti Emeya 900 Gold.
Output kuasa mencecah 918hp dan 985Nm, dipadankan dengan bateri CATL NCM 112kWh yang menawarkan jarak perjalanan sehingga 560km mengikut piawaian CLTC.
Eletre 900 Gold mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 2.95 saat dan mencapai 200km/j dalam 9.5 saat sebelum mencatat kelajuan maksimum 265km/j.
Model ini turut dilengkapi sistem casis dinamik enam dimensi yang merangkumi suspensi udara dua ruang, palang anti-oleng aktif 48V serta sistem stereng roda belakang aktif.
Dari sudut aerodinamik, tujuh saluran RaceAero dan spoiler aktif empat peringkat membantu menghasilkan sehingga 112.5kg daya tekan untuk kestabilan ketika dipandu pada kelajuan tinggi.
Dengan pengenalan ketiga-tiga model ini, Lotus bukan sahaja memperluaskan penawaran produknya di China, malah menonjolkan keupayaan jenama itu dalam menggabungkan prestasi tinggi tradisional dengan teknologi elektrifikasi moden.








