,
Buletin

HONDA JADE RS. PENGGANTI STREAM YANG TAK DIKENALI…

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang sebuah jentera dari Jepun yang agak kurang popular namun menarik minat rakyat Malaysia. Jentera ini diberi nama Honda Jade RS.

Honda Jade di Jepun mempunyai pelbagai varian, namun disebabkan model ini tidak dibawa masuk oleh pihak Honda Malaysia, para pemegang AP di Malaysia mengambil inisiatif untuk membawa masuk model Honda Jade varias RS untuk dijual.

Kenapa hanya RS ? Kerana jika diteliti, hanya varian ini yang sesuai serta lekat dihati peminat Compact MPV di Malaysia ini.

Pertama sekali kita pergi kepada sejarah jentera ini.

Memang sedia maklum bahawa segmen Compact MPV (recond) di Malaysia ini dimonopoli oleh Toyota Wish. Walaupun tidak dibawa masuk melalui pengedar sah Toyota, namun jentera ini sangat banyak di atas jalan. Jika anda memandu di jalanan, tidak sah jika tidak nampak sebuah Toyota Wish, sama ada model lama atau model sepet yang terbaru.

Pesaingnya sebelum ini adalah Honda Stream, Mazda 5, Kia Carens dan Naza Citra. Jika diteliti senarai ini, hanya Honda Stream yang dilihat mampu memecah monopoli Toyota Wish. Namun apakan daya, Toyota Wish tetap mendahului dari segi jualan.

KELAHIRAN HONDA JADE

Kelahiran Honda Jade hanya bermula pada tahun 2013 dan pada ketika itu, jentera ini dibuat untuk pasaran China dan dibuat di kilang yang berpangkalan di China iaitu Dongfeng Honda. Asas jentera ini adalah daripada model Honda Civic generasi ke-8 iaitu Honda Civic FB.

Hanya pada tahun 2015 pihak Honda memutuskan untuk melancarkan model Jade ini di pasaran terbuka dan pengeluarannya dibuat di kilang yang berpangkalan di Saitama, Jepun (bukan Saitama Sensei, itu Cikgu Genos).

Jentera ini secara rasminya menggantikan model Stream generasi ke-2 yang berkhidmat dari tahun 2006-2014. Terima kasih kepada Honda Malaysia kerana inisiatif membawa masuk Honda Stream generasi ke-2 di Malaysia ini.

Baiklah, sekarang kita fokus kepada varian RS ini sahaja.

Jentera ini dipacu oleh enjin bersesaran 1,497cc(1.5L) berkod L15BF. Bagi menjawab persoalan sama ada enjin Honda Jade RS ini sama atau tidak dengan enjin Honda Civic FC Turbo, jawapannya adalah tidak sama. Honda Civic FC Turbo menggunakan enjin bersesaran 1,497cc(1.5L) berkod L15B7.

Enjin Honda Jade RS ini mempunyai nilaian Bore x Stroke sebesar 73mm x 89.4mm. Material yang digunakan untuk blok enjin serta kepala silinder adalah daripada Alumunium. Nisbah mampatan bagi enjin ini pula adalah sebanyak 10.6:1.

VTEC ? Tiada. Yang ada hanyalah sistem VTC iaitu “Valve Timing Control” yang berfungsi untuk melaras pemasaan injap mengikut kesesuaian situasi. Sama juga dengan Civic FC Turbo. Tiada sistem VTEC yang diaplikasikan.

Sistem bahan api enjin ini menggunakan sistem pancitan terus(Direct Injection) daripada Honda yang dikenali sebagai PGM-FI yang bermaksud “Programmed Fuel Injection”.

Hasilnya ?

148hp pada 5,500rpm dan daya kilas sekuat 203Nm pada 1,600-5,000rpm. Garisan merah(Redline) pada enjin ini dihadkan pada 6,500rpm.

Kuat tak ? Kuat lah tu. Janganlah bandingkan dengan Range Rover Sport SVR. Kapasiti enjin rendah, kuasa pula tinggi, apa lagi nak ?

Kuasa yang dihamburkan pula dihantar kepada kotak gear Honda Earth Dreams CVT bersama “Honda Control” yang mampu memberikan pengalaman penukaran gear yang lembut serta efisyen. Fungsi “Honda Control” pada Earth Dreams CVT ini adalah ia mampu membaca situasi pemanduan ketika pemanduan secara agresif atau biasa. Bukan itu sahaja, jentera ini juga mempunyai unit “Paddle Shift” untuk membolehkan pemandu mengawal penukaran gear secara manual.

Aspek pengendalian pada jentera ini juga dititikberatkan oleh pihak Honda. Sistem gantungan bagi bahagian depan menggunakan topang McPherson manakala di belakang pula menggunakan “Double Wishbone”. Dengan menggunakan sistem “Double Wishbone” pada sistem gantungan belakang, jentera ini mampu memberikan pengalaman pengendalian yang mantap, jitu serta mengekalkan keselesaan yang maksimum kepada pemandu dan juga penumpang.

Kapasiti penumpang pada jentera ini adalah 2+2+2. 6 orang sahaja. Hal ini kerana pihak Honda menitikberatkan aspek keselesaan kepada setiap penumpang termasuk pemandu. Titik ISOFIX pula terdapat pada setiap tempat duduk penumpang sekaligus membuatkan jentera ini sangat mesra pengguna lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai anak kecil.

Aspek keselamatan juga turut dititiberatkan kerana jentera ini dilengkapi dengan 6 beg udara. Sistem bantuan brek seperti ABS, EBD dan BA dilengkapi sebagai ciri asas. Selain itu, jentera ini juga dilengkapi dengan sistem “Hill Start Assist”, “Vehicle Stability Assist” dan “Emergency Stop Signal”.

Bahagian cesi jentera ini menggunakan teknologi “Advanced Compatibility Engineering Body” dimana teknologi ini akan mengurangkan impak kepada kabin jika berlaku kemalangan sekaligus mengurangkan kebarangkalian kecederaan serius kepada pemandu dan penumpang.

Jentera ini juga mendapat penarafan 5 bintang dengan skor 178.2 markah di dalam ujian “Japan New Car Assessment Program”(JNCAP).

Jentera ini menerima pembaharuan dengan pelancaran model Facelift pada tahun 2018. Berita baiknya, sudah ada pemegang AP di Malaysia yang membawa masuk model Facelift. Dari segi penampilan, sudah tentu lebih ranggi dan moden.

Jadi Tuan-Tuan, inilah dia sedikit sebanyak cerita tentang Honda Jade RS. Adakah model ini akan memecah monopoli Toyota Wish di Malaysia ?

Sama-sama kita nantikan. Kepada sesiapa yang sedang mencari kenderaan keluarga, jentera ini amat sesuai untuk anda. Lagi satu faktor penting adalah kerana ianya merupakan sebuah Honda. CBU tau, bukan CKD. Haha!

GALERI

Google ads
Back to top button