,
Artikel Pilihan

“PEMBUNUH SENYAP” DARI JERMAN – INILAH AUDI RS3!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas perihal sebuah jentera dambaan ramai bukan sahaja di Malaysia, tapi di seantero dunia. Jentera yang disebutkan ini bernama Audi RS3.

Audi RS3 yang menjadi pilihan saya untuk diceritakan artikel ini pula merupakan dari generasi ke-3 Audi A3 yang berkod 8V. Generasi ke-3 ini menggunakan platform MQB dimana platform ini membolehkan jentera pelbagai jenama di bawah Volkswagen Group berkongsi sistem gantungan, kedudukan pedal dan kedudukan enjin.

Baiklah, kita pergi kepada isi cerita.

Pembangunan Audi RS3 ini didedahkan kepada umum pada tahun 2014. Ia kemudiannya dilancarkan pada suku pertama tahun 2015. Jika anda pernah melihat iklan Audi UK berkisarkan RS3 ini, pastinya anda kagum dengan kreativiti mereka dimana iklan ini menunjukkan Audi RS3 ini “dilahirkan” daripada Audi R8.

Pada awal pengeluarannya, model Audi RS3 ini hanya didatangkan dengan varian 5-pintu Sportback sahaja. Hanya pada tahun 2017 varian saloon/sedan diperkenalkan. Bukan apa, ada minat Sportback, ada minat Sedan. Oleh itu, kepelbagaian varian ini semestinya akan menarik minat pelanggan.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin bersesaran 2,480cc (2.5L) 5-silinder berkod EA255 CZGB yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 362hp pada 5,550-6,800rpm dan 480Nm daya kilas pada 1,625-5,550rpm.

Kuasa yang dihamburkan kemudian dihantar kepada kotak gear 7-Kelajuan S-Tronic berkod DQ500. Kotak gear ini merupakan kotak gear klac-berkembar (Dual-Clutch) yang menggunakan “Wet Clutch” dan mampu menampung sehingga 600Nm daya kilas tanpa gagal.

Laju ? Semestinya. Bila tekan kalau tak senyum secara automatik maknanya anda ada masalah depresi.

Jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h hanya pada kadar 4.3 saat sahaja. Kelajuan tertinggi yang direkodkan pula adalah 280km/h dengan had maksimum dikawal oleh elektronik.

Sekejap. Nilai diatas adalah untuk model Audi RS3 circa 2015-2016 sahaja. Berita baiknya di Malaysia sudah ada pemegang AP yang membawa masuk model 2017-2018.

Semestinya lagi laju.

Jentera keluaran 2017-2018 dikuasakan oleh enjin bersesaran 2,480cc (2.5L) 5 silinder berkod EA255 DAZA yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 395hp pada 5,850-7,000rpm dan 480Nm daya kilas pada 1,700-5,850rpm.

Kuasa yang dihamburkan dihantar ke kotak gear yang sama iaitu 7-Kelajuan S-Tronic. Dengan penalaan yang baru ini, jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h hanya pada kada 4.1 saat sahaja. Kelajuan maksimum pula dihadkan pada 280km/h.

Laju wehhhhhhhh !!!!!

Jadi disini nampak beza kuasa diantara model 2015-2016 dan 2017-2018. Jangan dilupakan antara faktor yang membuatkan jentera ini “terlalu” berkuasa adalah kerana beratnya hanya 1,510kg (Hatchback) dan 1,515kg (Sedan) sahaja.

Kadar penggunaan petrol yang direkodkan pula adalah pada kadar 11.9km/L purata pemanduan lebihraya dan bandar. Kira boleh lah ni. Kan kereta “Sport”.

Bila dah berkuasa, adalah penting untuk membuatkan jentera ini boleh dikawal dengan baik. Jentera ini menggunakan sistem gantungan jenis “Multilink” pada bahagian hadapan dan belakang.

Sekaligus memberikan pengendalian yang mantap. Kekerasan sistem gantungan juga boleh dilaras secara elektronik oleh pemandu mengikut kesesuaian pemanduan. Bukan itu sahaja, model RS3 ini juga direndahkan sebanyak 25mm dan jarak antara roda dilebarkan sebanyak 20mm.

Sistem QUATTRO juga memainkan peranan penting dalam faktor pemberian nisbah kuasa untuk dihantar ke setiap tayar. Sistem brek jentera ini dikuasakan oleh rotor bersaiz 370×35 pada bahagian depan dan angkup brek 4-Pot daripada Brembo.

Rotor bahagian belakang pula bersaiz 310×22. Sistem bantuan brek merangkumi sistem ABS dan dipadankan bersama EBD dan BA. Jadi, bukan sahaja pecutan 0-100km/h yang dititikberatkan Audi, pemberhentian daripada 100-0km/h juga diambil berat.

Dari segi keselamatan, jentera ini dilengkapi dengan 6 beg udara. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan “Traction Control”. Jentera ini juga mendapat penarafan 5 bintang dalam ujian Euro NCAP. Senang cerita memang selamat lah.

Sekarang kita pergi kepada sistem hiburan jentera ini. Jentera ini menyokong fungsi Apple CarPlay dan juga Android Auto Integration. Semuanya dimuatkan ke dalam sistem Audi MMI. Sistem Audio jentera ini dilengkapi dengan sistem 705Watt Bang & Olufsen Advance Sound System. Nampak tak, bukan setakat power kat enjin, Sound System pun power beb. Baru sedap drive santai sambil layan Rammstein.

Kemasan dalam jentera ini menggunakan kulit sepenuhnya dengan logo “RS” terpampang pada tempat duduk hadapan. Pilihan “Diamond Stitch” juga diperkenalkan bagi varian spesifikasi penuh.

Panoramic Roof juga hanya terdapat pada varian “Full Spec”. Oleh itu, jangan pelik kenapa ada model Audi RS3 yang ada Panoramic Roof dan ada yang tiada.

Sistem penghawa dingin jentera ini dilengkapi dengan Dual-Zone Climate Control dimana pemandu dan penumpang boleh melaras suhu untuk dihalakan ke badan masing-masing mengikut kesesuaian. Maklumlah, angin masing-masing tak sama, ada panas, ada sejuk. Jadi bila adanya sistem ini, tak usah bergaduh. Haha !

Ruang kargo jentera ini mempunyai kapasiti sebesar 335L bagi Hatchback dengan kerusi belakang dilipat dan 315L bagi Sedan. Cukup besar dah ni nak bawa barang balik kampung. Kapasiti tangki bahan api pula adalah sebesar 55L.

Antara ciri lain yang terdapat pada jentera ini adalah seperti berikut :-
– Cruise Control
– Keyless Entry
– Auto Headlight
– Rain Sensing Wiper
– Electric Park Brake Button
– Navigation
– Daytime Running Light
– Reverse Camera
– Memory Seat
– Audi Drive Select
– Audi Virtual Cockpit

Sesungguhnya ciri-ciri yang ada ini melengkapkan jentera Audi RS3 ini sebagai sebuah jentera yang mewah dan sporty. Apa yang anda dapat daripada sebuah RS3 adalah :-

– Kemewahan
– Kelajuan
– Simbol kejayaan
– Prestij
– Karisma
– Perhatian

Tipu lah kalau tak terpegun jika nampak sebuah Audi RS3 di atas jalan raya. Secara automatiknya perasaan kagum itu akan terbuah di hati.

Mulalah timbul persoalan berapalah pendapatan pemilik, macam mana lah dia mampu memilikinya, bila lah diri ini mampu memilikinya dan banyak lagi. Dengan tag harga circa RM399,900 mungkin jentera ini mampu dimiliki oleh anda.

Syabas Audi !

Tags
Google ads
Back to top button