
HYUNDAI PUKAU DENGAN CRATER CONCEPT – PERTARUH REKA BENTUK OFF-ROAD MASA DEPAN
Hyundai nampaknya bersedia menunjukkan sisi lasak yang jarang ditonjolkan. Model konsep terbaharu yang digelar Crater kini menjadi tumpuan, dengan reka bentuk agresif – jelas mahu meyakinkan dunia bahawa jenama Korea ini mampu bermain di medan off-road.
Kenderaan konsep ini akan diperkenalkan secara rasmi di Los Angeles Auto Show minggu ini.
Walaupun namanya hampir menyerupai Creta, SUV kompak popular di pasaran Asia, Crater membawa maksud yang jauh lebih dramatik.

Berdasarkan imej acah yang didedahkan, ia tampil seolah-olah sebuah jelmaan “Bronco” atau Land Cruiser masa depan. Bentuknya tegap, tinggi dan ringkas, dengan overhang pendek serta arca roda yang menonjol, memberikan aura utiliti futuristik.
Hyundai menjelaskan bahawa Crater adalah eksperimen untuk meneroka identiti yang lebih tahan lasak dan berfokuskan aktiviti luar.
Ia juga memberi petanda bahawa pakej gaya XRT yang sebelum ini sekadar kosmetik mungkin akan berevolusi menjadi lebih serius, mungkin juga melahirkan model off-road sepenuhnya.

Ketika pembeli SUV semakin mencari kenderaan yang benar-benar mampu meredah laluan mencabar, langkah ini boleh menjadi strategi penting Hyundai.
Siluet gril tertutup dan permukaan yang bersih pula memberi petunjuk kepada kemungkinan penggunaan kuasa elektrik. Namun tanpa pengesahan rasmi, tidak mustahil jika kelak ia ditawarkan dengan enjin pembakaran dalaman atau hibrid.
Menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Reka Bentuk Global Hyundai dan Genesis, SangYup Lee, Crater lahir daripada satu persoalan mudah: “Apakah rupa kebebasan?” Katanya, konsep ini adalah interpretasi Hyundai terhadap semangat meneroka yang tidak terbatas.

Walaupun model trak ringan Santa Cruz tidak mencapai sambutan sebagaimana dijangka, Hyundai jelas tidak mahu melepaskan elemen ‘adventure’ dalam portfolio mereka, terbukti melalui Ioniq 5 XRT dan kini Crater.
Model konsep ini akan membuat penampilan sulungnya di LA Auto Show dari 21 hingga 30 November, dan mungkin menjadi titik permulaan kepada era baharu kenderaan lasak Hyundai.
- BACA: MPKS SERBU KILANG TAYAR TERPAKAI, BEROPERASI TANPA KEBENARAN
- BACA: CHERY ICAR V27 DEBUT DI CHINA – SUV EREV DENGAN JARAK GERAK 1,000KM, HARGA SEKITAR RM122K
- BACA: RASMI: MOTO MORINI X-CAPE 1200 DIUMUMKAN UNTUK PASARAN MALAYSIA – RM49,888
- BACA: RASMI: MOTO MORINI ALLTRHIKE 450 LANCAR UNTUK PASARAN MALAYSIA – RM28,888


