Buletin

MAZDA 6E EV BAKAL DEBUT DI MOTOR EXPO THAILAND – TAWAR JARAK GERAK 500KM

Penantian panjang peminat Mazda akhirnya berbayar. Tahun 2025 bakal menyaksikan kemunculan rasmi Mazda 6e, model elektrik pertama jenama itu, yang siap sedia membuat penampilan sulung di Motor Expo Thailand hujung tahun depan.

Walaupun banyak jenama lain sudah lama terjun ke dunia EV, Mazda memilih jalan lebih berhati-hati, menunggu masa paling tepat untuk memastikan DNA pemanduan “Zoom-Zoom” dan falsafah Jinba Ittai benar-benar dapat diterjemahkan dalam sebuah EV sepenuhnya.

Dengan 6e, inilah detik penentu sama ada Mazda mampu mengekalkan sentuhan khas itu dalam sebuah kereta elektrik.

Model ini dibangunkan menggunakan platform Changan EPA1, sama asas dengan Deepal SL03  namun Mazda memastikan identitinya tetap terserlah.

Pandang sahaja rekabentuknya: garis badan yang bersih dan siluet fastback yang tampak atletik walaupun statik. Ini semua hasil bahasa reka bentuk Kodo yang terus menjadi teras jenama.

Di sebalik rupa sedan yang rendah dan tirus itu sebenarnya tersembunyi sebuah tailgate gaya hatchback, menawarkan ruang kargo lebih praktikal.

Persoalan besar sudah tentu: adakah ia masih seronok dipandu? Ujian awal media antarabangsa memberikan jawapan yang melegakan – ya. Sangat ya.

Walaupun berkongsi platform, Mazda jelas melakukan penalaan semula pada casis mengikut acuan sendiri.

Hasilnya, 6e dikatakan tampil dengan karekter pemanduan yang jauh berbeza berbanding “kembarnya”.

Masuk ke kabin, paparan tengah 14.6-inci mungkin mengingatkan anda kepada model keluaran Changan, namun suasana dalamannya tidak sama. Mazda memberi tumpuan kepada material yang lebih premium, kemasan rapi serta pilihan warna lebih elegan.

Untuk spesifikasi awal Mazda 6e di pasaran Thailand, ia hadir dengan motor tunggal, pacuan roda belakang, berupaya menghamburkan kuasa maksimum 258hp dan 320Nm tork. Model ini juga mampu memecut 0-100km/j menelan masa sehingga 7.6 saat.

Menerusi bateri 78kWh, Mazda 6e menawarkan jarak pemanduan lebih 500km.

Dari segi harga pula, dengan unit CBU dari China, ramai berharap harga 6e dapat berada dalam julat kompetitif seperti EV lain dari negara tersebut.

Namun, Mazda juga perlu berhati-hati agar tidak merendahkan kedudukannya sebagai jenama premium yang sudah lama dibina.

Google ads
Back to top button