
KIA CARNIVAL 8 TEMPAT DUDUK DILANCARKAN – HARGA MULA RM238K
Barisan Kia Carnival di Malaysia kini diperluaskan dengan pengenalan varian baharu lapan tempat duduk yang diletakkan di antara model tujuh dan 11 tempat duduk.
Model pemasangan tempatan (CKD) di Kulim, Kedah ini dijual pada harga RM238,888 bagi Semenanjung Malaysia, tidak termasuk insurans dan cukai jalan.
Ia berada di tengah-tengah antara varian 11 tempat duduk berharga RM188,888 dan varian tujuh tempat duduk pada RM248,888.
Susun atur tempat duduk 2-3-3 dengan kemasan leatherette lembut memberikan fleksibiliti tinggi, khususnya untuk kegunaan keluarga besar atau perkhidmatan pemandu.

Barisan kedua menggunakan konfigurasi 40:20:40 dengan fungsi gelongsor jarak jauh serta tempat duduk boleh tanggal.
Tempat duduk tengah boleh dipusing menghadap ke hadapan atau belakang, manakala tempat duduk sisi boleh diterbalikkan untuk pelbagai konfigurasi.
Barisan ketiga pula hadir dengan lipatan 60:40 bagi memudahkan pengurusan ruang kargo tanpa menjejaskan kapasiti penumpang.
Dari segi kelengkapan, varian ini mengekalkan ciri premium seperti pencahayaan ambien, paparan panorama melengkung yang menggabungkan kluster instrumen digital 12.3-inci dengan skrin infotainmen 12.3-inci, serta panel kawalan pendingin hawa berorientasikan mendatar. Sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara turut disediakan bagi meningkatkan pengalaman dalam kabin.

Beralih pada kuasa, ia digerakkan oleh enjin turbodiesel Smartstream 2.2 liter empat silinder yang menghasilkan 202PS dan 440Nm tork.
Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda hadapan. Penggunaan bahan api gabungan dianggarkan 6.5 liter setiap 100km berdasarkan kitaran WLTP, membolehkan jarak perjalanan melebihi 900km dengan satu tangki penuh dalam keadaan optimum.
Dari aspek keselamatan, Kia Carnival lapan tempat duduk dilengkapi lapan beg udara termasuk beg udara tengah, bersama pakej sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS).
Antara ciri yang disertakan termasuk;
- Bantuan Mengelak Perlanggaran Depan
- Bantuan Had Kelajuan Pintar
- Bantuan Pemanduan Lebuh Raya
- Bantuan Kekal Lorong
- Bantuan Mengikut Lorong
- Amaran Perhatian Pemandu
- Bantuan Lampu Tinggi
- Bantuan Mengelak Perlanggaran Titik Buta
- Bantuan Mengelak Perlanggaran Lalu Lintas Silang
- Amaran Penumpang Belakang
Varian baharu ini ditawarkan dalam empat pilihan warna luaran iaitu;
- Meteor Grey
- Snowflake White Pearl
- Astra Blue
- Jet Black
Seperti model lain dalam barisan yang sama, ia didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 km.

Turut ditawarkan promosi pembiayaan dengan kadar faedah bermula 1.98% setahun sehingga tempoh sembilan tahun, atau pilihan kredit minyak RM6,000 melalui eWallet TNG menerusi inisiatif “We Fuel You”.
Dari sudut pemilikan, model ini mengekalkan selang servis setiap 10,000km atau 12 bulan, dengan anggaran kos penyelenggaraan wajib sekitar RM3,600 bagi tempoh lima tahun.
Pembeli juga boleh memilih pakej insurans komprehensif Kia Cares yang menawarkan manfaat seperti nilai dipersetujui sehingga 15 tahun, kelulusan tuntutan bawah RM30,000 dalam masa 24 jam serta penambahbaikan percuma sehingga 10 tahun bagi kes terpilih.
GALERI:






















