
TOYOTA COROLLA GENERASI BAHARU GUNA 1.5L HYBRID, DIPERKENALKAN TAHUN DEPAN
Toyota dilaporkan sedang membangunkan generasi ke-13 Corolla dengan pendekatan lebih menyeluruh, bukan sekadar model popular, tetapi juga kereta yang menyeronokkan untuk dipandu.
Pembangunan ini selari dengan strategi jenama baharu “For You”, yang memberi fokus kepada keperluan pelanggan mengikut pasaran, bukannya satu formula umum untuk semua.
Melalui pendekatan tersebut, Toyota mahu menghasilkan model arus perdana dan tidak lagi dilihat sebagai kenderaan “praktikal semata-mata”.
Walaupun hala tuju industri semakin ke arah elektrifikasi, pengeluar Jepun itu menegaskan enjin pembakaran dalaman masih penting, terutama di kawasan yang belum bersedia sepenuhnya untuk kenderaan elektrik.

Corolla generasi baharu yang dijangka diperkenalkan sekitar 2027 dikatakan akan menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter hibrid yang lebih kecil tetapi lebih cekap, menggantikan unit 1.8 liter sedia ada.
Selain itu, versi plug-in hybrid dan model elektrik sepenuhnya juga dijangka menyusul selepas pelancaran awal.
Toyota turut memberi gambaran konsep “For You” melalui pembangunan kenderaan modular untuk pasaran tertentu, menunjukkan strategi masa depan yang lebih fleksibel mengikut keperluan wilayah.
Pendekatan ini membolehkan model dibangunkan khusus tanpa perlu menyesuaikan produk global secara kompromi.
Sementara menunggu model generasi baharu, laporan turut menyebut kemungkinan edisi khas ulang tahun ke-60 Corolla diperkenalkan tahun ini.
Varian tersebut dijangka menampilkan kemasan hitam eksklusif, lencana khas ulang tahun serta kabin dengan kemasan kulit sintetik tona kelabu.
Edisi khas itu dikatakan masih menggunakan trenkuasa hibrid 1.8 liter dengan pilihan pacuan roda hadapan dan semua roda.
Harga di Jepun dianggarkan bermula sekitar 3.2 juta yen (kira-kira RM79,000) untuk versi FWD dan 3.4 juta yen (sekitar RM84,000) bagi AWD.





