Buletin

KLASS GYMKHANA PERAK CATAT PENYERTAAN 42 PESERTA

Program KLASS Gymkhana Peringkat Negeri Perak yang berlangsung pada 22 hingga 23 November lalu di Kompleks Belia & Sukan Negeri Perak berjaya menghimpunkan 42 peserta dari pelbagai latar belakang.

Penganjuran oleh Jabatan Belia & Sukan Negeri Perak dengan kerjasama Kelab Sukan Bermotor Estrada ini terus menjadi antara platform penting dalam memperkasa sukan permotoran di peringkat akar umbi.

Berbeza daripada acara perlumbaan kompetitif, KLASS Gymkhana lebih menekankan pendedahan asas dan latihan praktikal.

Peserta diberikan ruang untuk mencuba, memahami teknik pemanduan, serta meningkatkan kemahiran dalam suasana pembelajaran yang selamat dan terkawal, sesuai untuk mereka yang baru ingin mengenali sukan Gymkhana mahupun peserta berpengalaman yang mahu mengasah teknik.

Program ini dilihat sebagai pintu masuk kepada sukan Gymkhana untuk masyarakat umum, menyediakan peluang penyertaan tanpa tekanan pertandingan.

Dengan sesi yang disusun rapi, peserta dapat memahami asas pengendalian kenderaan, kawalan kon, serta laluan teknikal yang menjadi teras sukan tersebut.

Bagi Kelab Sukan Bermotor Estrada, edisi kali ini menandakan penutup tirai program Gymkhana bagi tahun 2025.

Sepanjang tahun, mereka telah menganjurkan dua sesi KLASS Gymkhana untuk tujuan pendedahan dan latihan, selain tiga pusingan perlumbaan rasmi iaitu Gymkhana Challenge serta Perlumbaan Gymkhana KBS Siri 1 dan Siri 2.

Kesemua program ini dijayakan melalui sokongan berterusan Kementerian Belia & Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia & Sukan Negeri.

Kerjasama itu sekaligus menegaskan usaha KBS untuk menyediakan platform sukan permotoran yang selamat, membuka peluang kepada bakat baharu, serta memastikan penggiat terus berkembang melalui pertandingan yang sah dan teratur.

Google ads
Back to top button