Buletin

LELAKI MAUT DILIBAS PENCANGKUK BESI MESIN PADI DI KANGAR

Seorang pengendali mesin padi maut setelah dilibas pencangkuk besi semasa menarik keluar jentera penuai yang tersangkut di kawasan bendang di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat dekat Kangar petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.33 petang itu, mangsa, Mohamad Sharif Hamdan, 36, maut di tempat kejadian akibat kecederaan pada bahagian leher dan pipi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, siasatan awal mendapati sebuah mesin padi telah tersangkut ketika memotong padi di kawasan tersebut.

“Semasa proses menarik keluar mesin padi dengan bantuan sebuah mesin padi lain, salah satu pencangkuk yang diikat pada mesin tersebut telah patah.

“Rantai besi yang terputus itu kemudian melibas leher kiri dan pipi mangsa yang berdiri di antara dua mesin padi,” katanya dalam satu kenyataan. Libasan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tambahnya, siasatan lanjut mengenai kejadian tersebut masih dijalankan. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button