Buletin

MITSUBISHI DESTINATOR TIBA DI FILIPINA – JANA 161HP, HARGA BERMULA RM97K

Mitsubishi Motors Philippines Corporation (MMPC) melancarkan SUV tujuh tempat duduk terbaharu, Mitsubishi Destinator.

Pelancaran ini turut menandakan langkah awal sebelum model sama diperkenalkan ke lebih 70 negara lain termasuk Vietnam, negara-negara ASEAN, Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika.

Model dibangunkan di Indonesia oleh Mitsubishi Motors Krama Yudha itu diasaskan pada konsep “Confidence Booster for Energetic Families”, iaitu kenderaan yang direka untuk memberi keyakinan dan keselesaan kepada keluarga aktif.

Dari sudut penampilan, Destinator mempamerkan gaya yang mengingatkan kepada bahasa rekaan Mitsubishi XForce dengan elemen Dynamic Shield, lampu utama LED serta lampu siang (DRL) yang tajam.

Garisan badan yang kemas digandingkan bersama rim aloi 18-inci dua tona bagi menambah karakter moden.

Bahagian belakang pula diserikan dengan spoiler bumbung, lampu belakang berbentuk T serta bampar tebal berimej lasak.

Masuk ke dalam, Destinator menawarkan susun atur tiga baris tempat duduk yang memberi ruang fleksibel untuk penumpang dan barangan. Kabin direka untuk memenuhi keperluan keluarga moden yang memerlukan ruang serbaguna.

Antara ciri utama yang ditampilkan:

  • Kluster instrumen digital 8-inci
  • Paparan infotainmen 12.3-inci dengan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • Sistem audio Yamaha
  • Sistem keselamatan Mitsubishi Motors Safety Sensing dengan kamera 360 darjah
  • Penulen udara NanoeX
  • Konsol tengah dengan fungsi penyejukan

Dari segi kuasa, Destinator menggunakan enjin 1.5L turbo 4B40 yang menghasilkan 160hp dan 250Nm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Pemandu turut boleh memilih lima mod pemanduan – Normal, Wet, Gravel, Mud dan Tarmac – bagi menyesuaikan pemanduan dengan keadaan permukaan jalan.

Model ini juga hadir bersama Mitsubishi Connect, iaitu sistem kesalinghubungan pintar pertama Mitsubishi di Filipina, merangkumi fungsi keselamatan, penjejakan kenderaan dan pemantauan status kereta terus melalui aplikasi telefon.

Beralih pada aspek harga, Mitsubishi Destinator ditawarkan di Filipina pada tiga pilihan varian, bermula dengan GLX Turbo CVT pada harga 1.389 juta peso (anggaran RM97,660), diikuti GLS Turbo CVT pada 1.599 juta peso (anggaran RM112,445), manakala varian tertinggi GT Turbo CVT dijual pada 1.929 juta peso (anggaran RM135,650).

Google ads
Back to top button