Buletin

PEMANDU TRELER SEBABKAN 10 KEMATIAN DITAHAN REMAN 4 HARI

Seorang pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan 10 mangsa di Kilometer 8.3 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah Shah Alam pada awal pagi Sabtu telah ditahan reman.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, lelaki berusia 37 tahun berkenaan direman selama empat hari bermula Sabtu untuk membantu siasatan.

“Permohonan reman ke atas pemandu treler itu dibenarkan bermula hari ini hingga 21 Disember depan.

“Hasil ujian alkohol dan air kencing ke atas lelaki berkenaan didapati negatif,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan treler dan tiga kenderaan itu berlaku pada jam 12.09 tengah malam Sabtu.

Treler itu dipercayai merempuh tiga kereta yang berhenti di lorong kecemasan selepas salah satu daripadanya mengalami kerosakan. Sementara dua kereta lain ketika itu berhenti untuk memberi bantuan,” katanya.

Terdahulu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kemalangan ngeri yang meragut nyawa lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing seorang lelaki serta perempuan dewasa.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam.

Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya serta dengan bantuan enam anggota dari BBP Puchong kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah treler.

“Seramai 17 mangsa terbabit dalam kemalangan ini membabitkan dua buah kereta Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Seorang lelaki dewasa maut membabitkan sebuah Proton Wira, manakala sembilan maut terdiri daripada seorang perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan yang menaiki sebuah lagi Proton Wira.

“Seorang lelaki yang menaiki Perodua Axia patah kaki dan perempuan dewasa yang menaiki kenderaan sama cedera ringan sementara seorang pemandu treler dan dua kanak-kanak di dalam kenderaan itu terselamat,” katanya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button