Buletin

PEMILIK SAMAN VINFAST DAKWA VF 8 AMBIL HAMPIR 24 JAM UNTUK DICAS

VinFast kembali menjadi tumpuan, malangnya bukan atas sebab yang menggembirakan. Pengeluar automotif dari Vietnam itu kini berdepan satu lagi tuntutan mahkamah di Amerika Syarikat, selepas sekumpulan pemilik mendakwa SUV elektrik VF 8 Plus AWD mengambil masa sehingga 24 jam untuk mencapai pengecasan penuh.

Tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Daerah Pusat California dan melibatkan pelanggan yang membeli atau menyewa model berkenaan dalam tempoh empat tahun lalu.

Menurut aduan tersebut, VF 8 sepatutnya menyokong kadar pengecasan 6.6kW atau lebih. Namun pemilik mendakwa kenderaan mereka hanya mampu dicas pada kadar kurang daripada 2kW, hampir setara dengan kelajuan model EV generasi lama seperti Nissan Leaf pertama, bukan sebuah EV moden.

Dua plaintif utama, Gil Swigi dan Joseph Mizrahi, berkata mereka diberi gambaran bahawa VF 8 mampu mengecas pada standard Level 2 sehingga 32 amp.

Tetapi apabila cuba menggunakan arus sedemikian, kenderaan didakwa akan terhenti akibat masalah perisian, memaksa mereka mengehadkan pengecasan kepada 19 amp sahaja. Ini menyebabkan kelajuan pengecasan merosot hampir 40 peratus.

Lebih membebankan, proses pengecasan dikatakan sering terhenti pada waktu malam tanpa disedari, menyebabkan pemilik bangun pagi dengan bateri yang tidak terisi secukupnya, sekali gus mengganggu perjalanan harian mereka.

Laporan Carcomplaints menyatakan VinFast telah cuba membaiki kedua-dua kenderaan beberapa kali, namun masalah hanya selesai selepas pemilik membeli peralatan pengecas tambahan.

Walau bagaimanapun, VinFast berjaya berhujah bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan pertikaian melalui arbitrasi. Hakim kemudian membenarkan permohonan itu, dan sesi arbitrasi dijadualkan berlangsung pada 20 Februari 2026.

Google ads
Back to top button