
PENGURUS BESAR PENGELUAR KENDERAAN DITAHAN SPRM. DIDAKWA JUAL KERETA PRE-PRODUCTION
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) telah menahan reman seorang pengurus besar syarikat pengeluar kenderaan selama enam hari bermula hari ini. Suspek dipercayai menerima rasuah bernilai ratusan ribu ringgit daripada sebuah syarikat kereta terpakai.
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 26 September itu selepas SPRM membuat permohonan berkenaan di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini, tadi.
Menurut sumber, pemberian rasuah itu diberikan kepada pengurus berkenaan sebagai balasan kerana membantu mendapatkan kereta untuk dijual di bawah harga pasaran dan tidak mengikut prosedur.
Kegiatan yang dipercayai dilakukan sejak 2019 itu tidak melalui proses penjualan diluluskan dan dianggarkan nilai kerugian mencecah jutaan ringgit dengan penjualan sekitar 1,000 unit kereta.
Sumber berkata, kereta ‘pre-production‘ yang dijual itu dikhaskan untuk kegunaan di kilang pengeluar bagi tujuan ujian dan kawalan kualiti sebelum pengeluaran sebenar kereta model itu dijual di pasaran.
“Selain itu, terdapat juga kereta ‘trade-in’ daripada pelanggan yang membeli kereta baharu dari syarikat pengeluar kereta itu turut dijual kepada syarikat kereta terpakai terbabit,” katanya.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ASPRM) 2009. – Harian Metro

