
HONDA LANCAR BR-V 2022 DI INDONESIA. HONDA SENSING, HONDA LANEWATCH, BERMULA RM 76.5K
Honda akhirnya melancarkan secara rasmi model MPV/SUV popularnya, BR-V 2022 ke pasaran Indonesia melalui laman YouTube Hondaisme. Kehadiran BR-V generasi baharu itu sebenarnya sudah diuar-uarkan sejak awal tahun lagi menerusi model N7X Concept.
Jentera berkapasiti tujuh tempat duduk itu tampil dengan rekaan lebih segar yang mengikut bahasa reka bentuk terkini Honda. Seperti yang boleh dilihat, ia tidak banyak jauh berbeza dengan N7X Concept dengan rekaan bar gril melintang, sepasang lampu utama bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED nipis.

Sementara kluster lampu belakangnya pantas mengingatkan kita kepada model sedan City. Dari arah sisi, garis badannya menyerlahkan rekaan yang ringkas tetapi elegan. Elemen SUV diserapkan melalui jarak kelegaan tanah yang tinggi, cladding pada arca roda dan roof rails.
BR-V digerakkan oleh enjin aspirasi biasa bersesaran 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121PS dan tork 145Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda hadapan melalui kotak gear CVT atau manual. Honda dilapor tidak menawarkan varian hibrid untuk memastikan BR-V kekal mampu milik.

Ruang kabin kini lebih moden dengan skrin infohibur bersaiz tujuh inci bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Pemandu dihidangkan dengan skrin TFT bersaiz 4.4 inci yang diapit di antara meter kelajuan dan rpm analog.
Ciri moden lain yang turut ditambah ialah penghidup enjin dari jauh, Walk-Away Auto Lock, slot USB di ketiga-tiga baris tempat duduk dan banyak lagi.
Aspek keselamatan ditingkatkan dengan ciri Honda SENSING untuk varian paling tinggi. Ia juga dilengkapi pelbagai ciri keselamatan lain seperti beg udara, ABS, EBD, VSA, HSA dan Honda LaneWatch.
Sejak tahun 2015, lebih 255,000 unit BR-V berjaya dijual di republik berkenaan. Dibangun dan dikilangkan di Indonesia, BR-V dijangka ditawarkan pada harga bermula 260 juta rupiah (RM76,500). Ia bakal diserahkan kepada pengedar pada Januari 2022.
- BACA: HONDA MALAYSIA LANCAR BR-V FACELIFT 2020. 2 VARIAN, HARGA BERMULA RM89,900 SEUNIT
- BACA: PANDU UJI: HONDA BR-V
- BACA: HONDA AKAN PINDAH KILANG DARI INDIA KE INDONESIA. TINGKATKAN PELABURAN HINGGA RM1.49 BILION
- BACA: HONDA BRIO BAKAL DIEKSPORT DARI INDONESIA KE ASEAN, MALAYSIA BAGAIMANA?
GALERI