
PENYELUDUP BELI KERETA MALAYSIA TERPAKAI UNTUK SELUDUP PETROL, DIESEL
Penyeludup petrol dan diesel sanggup membeli kenderaan terpakai Malaysia semata-mata memudahkan mereka mendalangi kegiatan penyeludupan bahan api berkenaan.
Penggunaan kenderaan Malaysia terutama Proton Waja dan Proton Persona memudahkan mereka melakukan pembelian minyak di stesen sempadan, berbanding menggunakan kenderaan asing.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, tujuan mereka membeli kenderaan Malaysia bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Mereka juga mengeksploitasi kelemahan sistem pemantauan dan kekangan kawalan sempadan untuk melakukan pengisian berulang, terutamanya di kawasan berdekatan ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) dan sempadan negeri.
“Sehubungan itu, KPDN sedang memperketatkan kawalan melalui risikan rentas sempadan, semakan nombor pendaftaran kenderaan, serta kolaborasi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi mengenalpasti dan menyekat taktik penyeludup yang menggunakan kenderaan Malaysia secara haram untuk aktiviti penyelewengan.
“Kerjasama dari agensi berkenaan adalah penting untuk sama-sama mengekang perkara ini,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, selain membeli kenderaan Malaysia, sindiket penyeludupan juga mengupah individu tertentu untuk melakukan pengisian petrol dan diesel secara berulang di stesen minyak.
“Individu yang diupah ini terdiri daripada penduduk tempatan, warga emas dan pelajar selain wanita turut digunakan sebagai ‘runner’ dan ‘transporter’ untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Upah yang diterima bagi setiap trip dianggarkan antara RM60 hingga RM200, bergantung kepada kuantiti bahan api yang diisi dan risiko lokasi,” katanya.
Azman berkata, dalam tempoh lima tahun ini, sebanyak 1,521 kenderaan disita di Kelantan atas kesalahan menyeludup barangan kawalan termasuk petrol dan diesel.
“Kebanyakan kenderaan yang disita adalah jenis kereta persendirian, Proton Waja, Proton Iswara, Proton Wira, MPV dan van kerana memiliki ruang muatan lebih besar dan sesuai untuk pengangkutan bahan petrol dalam jumlah yang banyak.
“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang disita juga mendapati majoritinya sudah diubah suai, terutamanya pada bahagian tangki minyak, sistem paip dan ruang simpanan tersembunyi.
“Ada kenderaan yang dipasang tangki tambahan buatan sendiri, manakala ada juga yang menggunakan bekas simpanan plastik 10 liter, 30 liter seperti tong air atau tangki fiber yang disorok di bahagian tempat duduk belakang atau bawah lantai kenderaan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, bekalan minyak masak paket dan petrol bersubsidi di selatan Thailand termasuk di pekan Sungai Golok tidak pernah terputus selain boleh diperoleh dengan jumlah banyak tanpa had.
Situasi itu sekali gus menyaksikan penyeludupan membabitkan barangan bersubsidi itu sentiasa berlaku walaupun kawalan di sempadan sentiasa dipertingkatkan. – Harian Metro
- BACA: HONDA MALAYSIA SAMBUT ULANG TAHUN KE-25, TAWAR GANJARAN BERNILAI RM1 JUTA
- BACA: MAZDA UMUM PENURUNAN HARGA, JIMAT SEHINGGA RM35,000
- BACA: JPJ TAHAN PENCERAMAH MOTIVASI POPULAR GUNA NOMBOR KERETA PALSU ELAK DISAMAN
- BACA: MG MOTOR MALAYSIA UMUM HARGA BAHARU MG4 DAN TAWARAN HEBAT UNTUK MODEL LAIN