Buletin

PERODUA SUMBANG PERALATAN PERUBATAN KEPADA HOSPITAL UMUM SARAWAK

Perodua meneruskan lagi sokongannya kepada hospital-hospital awam dengan menyumbang peralatan diagnostik perubatan kepada Hospital Umum Sarawak, selain hamper kepada para pesakit dan kakitangan.

Inisiatif ini adalah untuk menyokong misi kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara ini. Pada masa sama berterima kasih kepada para petugas barisan hadapan yang berdedikasi.

Perodua menyumbang tujuh unit Vital Sign Monitor (peralatan diagnostik untuk memantau suhu badan, nadi, tahap pernafasan dan tekanan darah) serta hamper kepada pesakit dan kakitangan di wad kanak-kanak di hospital tersebut.

Sumbangan keseluruhan yang bernilai RM84,450 itu disampaikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.kepada pentadbir hospital itu dengan disaksikan oleh para doktor dan kakitangan.

Majlis penyerahan tersebut dihadiri Zainal, Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn. Bhd. JH Rozman Jaafar, Pengarah Hospital Umum Sarawak, Dr Ngian Hie Ung dan Timbalan Pengarah (Perubatan) Dr Norinawaty Abg. Daud.

“Menjadi sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat kami, kami sentiasa mencari peluang untuk memberikan bantuan yang terbaik bagi mengukuhkan sistem kesihatan negara. Oleh itu, kami sentiasa berkomunikasi dengan Kementerian Kesihatan dan pihak-pihak yang berkaitan untuk meneruskan inisiatif ini,” kata Zainal.

Sehingga kini, Perodua telah menyumbangkan peralatan perubatan dan kesihatan kepada hospital awam termasuk Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, Hospital Shah Alam, Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Ampang, Hospital Putrajaya dan beberapa klinik komuniti dalam daerah Hulu Selangor.

Google ads
Back to top button