" "
Buletin

RALLY MARAN 2022 – APA YANG MENARIK TENTANGNYA?

Jikalau tiada aral melintang, hujung minggu ini bakal berlangsungnya Vantage MNRC Rally Championship 2022 pusingan pertama dengan Maran akan menjadi tuan rumah buat julung kalinya acara perlumbaan rali. Sedikit kisah untuk dikongsi, Daerah Maran ini adalah Daerah ke 10 daripada 11 Daerah yang wujud di negeri Pahang setelah Watikah Pengistiharan Daerah Maran melalui terbitan Warta Kerajaan Negeri Pahang Jd 34 Bil. 14 pada 13 Mei 1981.

Ok, cukup mengenai Daerah Maran. Kita beralih ke tentang acara rali yang buat julung kalinya dibawakan ke Daerah Maran ini. Menurut orang kuat Purnama Rally Motorsports Club selaku penganjur Jamaluddin Tukimin usaha bagi memastikan acara ini berlangsung dengan jayanya masih sedang giat dilakukan. Malah sehingga ke hari ini terdapat beberapa perubahan.

Paling ketara adalah perlumbaan di Felda Bukit Tajau terpaksa dibatalkan dan diadakan di Felda New Zealand sahaja atas faktor yang tidak dapat dielakkan. Sementara itu, BK telah sempat menjalankan sesi menemubual terhadap beberapa pasukan bagi mendapatkan kepastian tentang penyertaan mereka mengenai Rally Maran 2022 ini. Sudah pasti, pasukan Purnama Rally Team akan mempertaruhkan Hashrul Jamaluddin yang akan memandu kereta Proton Satria 1.8, Mohd Ikhsan – Proton Satria 1.6. Menarik juga apabila seorang lagi waris Wak Jamal, Nurhashriza akan turut beraksi bersama Juruarah Nurul Farahzatul Atiqah menggunakan kereta Proton Satria 1.3.

Sementara itu sebuah lagi pasukan tempatan yang tidak kurang hebatnya, JR Speed Rally Team akan diketuai oleh Khairul Nizam bersama Juruarah Shahrol bersama kereta rali Mitsubishi Evo 3. Malah mereka juga akan membariskan dua lagi kereta, Proton Satria 1.8 dan juga Proton Saga 1.3 menerusi gandingan Max Ridhuan & Shazwan (anak kepada Shahrol yang juga Juruarah) serta Saman Rusli & Lutfi Anis. Dan sasaran mereka sudah tentu mahu menaiki podium.

Jika ada penggemar King (dibaca: Perodua Myvi) usah risau. Inilah masanya untuk anda menyaksikan sebuah model King untuk beraksi di pentas rali ini yang bakal di pandu oleh Zam. Inilah masanya untuk mengesahkan ke-King-an Perodua Myvi ini di arena rali.

Manakala, sebuah pasukan yang baharu diwujudkan, Carlead Motorsport turut bakal memeriahkan aksi di Rally Maran dengan mempertaruhkan Shah Bandi untuk mengemudi kereta rali Subaru Impreza GC8 yang berwarna gelap. Sebuah lagi kereta Subaru Impreza dengan generasi sedikit baharu pula bakal dipandu oleh seorang lagi pemandu yang agak handal juga, Haji Sutan Mustafa.

Cumanya untuk pusingan pertama ini, kelibat pasukan handalan One Motorsport yang diketuai oleh Chepot tidak akan kelihatan atas sebab sebab yang tidak dapat dielakkan. Mungkin pasukan beliau akan lebih bersedia pada pusingan kedua nanti.

Apa pun, kita tunggu pusingan pertama nanti bagai mana aksinya kelak.

BACA : VANTAGE MNRC RALLY CHAMPIONSHIP 2022 DI MARAN HUJUNG BULAN INI

BACA : MRC RALI TERENGGANU 2018 : SIAPA JUARA?

Google ads

B K

Back to top button