
PRESIDEN UMW TOYOTA MOTOR KAGUM INISIATIF PELAJAR SMK PENDAMARAN JAYA DALAM PROGRAM TOYOTA ECO YOUTH 2025
Usaha pelajar SMK Pendamaran Jaya dalam menangani isu alam sekitar mendapat perhatian apabila Presiden UMW Toyota Motor (UMWT), Datuk Ravindran K., hadir ke sekolah berkenaan untuk meninjau sendiri keberkesanan projek di bawah program Toyota Eco Youth (TEY) 2025.
SMK Pendamaran Jaya merupakan antara 30 sekolah seluruh negara yang terlibat dalam edisi ke-24 TEY, program pendidikan alam sekitar anjuran Toyota yang telah menjadi platform pembangunan belia paling lama di Malaysia.
Bagi projek tahun ini, pelajar sekolah tersebut memberi tumpuan kepada masalah perparitan di sekitar Jalan Young yang sering tersumbat hingga mengakibatkan banjir kilat dan takungan air.
Dengan berpandukan Toyota 8-Step Problem-Solving Methodology, mereka menjalankan analisis punca, merangka langkah penyelesaian jangka panjang, mengadakan gotong-royong, selain meningkatkan kesedaran penduduk mengenai pengurusan sisa dan penjagaan alam sekitar.

Dalam sesi pembentangan, pelajar berkongsi dapatan serta hasil kerja mereka kepada Datuk Ravindran dan barisan pengurusan UMWT sebelum membawakan rombongan tersebut melawat lokasi projek.
Datuk Ravindran menzahirkan rasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pelajar.
“Keberanian, kreativiti dan keprihatinan mereka membuktikan bahawa perubahan besar boleh bermula daripada golongan muda.
“Usaha ini memberi keyakinan bahawa generasi akan datang mampu memimpin dengan nilai kelestarian serta tanggungjawab sosial. Inilah makna sebenar Mobility for All – memberi impak positif bukan sahaja kepada individu, malah kepada seluruh komuniti,” katanya.
Lawatan itu menegaskan komitmen UMWT dalam menyokong pendidikan alam sekitar melalui TEY, selain memperlihatkan bagaimana inisiatif pelajar mampu membawa perubahan nyata kepada masyarakat setempat.