Buletin

TOYOTA ECO YOUTH 2025: 30 BUAH SEKOLAH DIPILIH GERAKKAN KOMUNITI KE ARAH MASA DEPAN LESTARI

Sebanyak 30 buah sekolah menengah dari seluruh negara kini memulakan perjalanan bermakna dalam inisiatif Toyota Eco Youth (TEY) 2025.

Toyota Eco Youth (TEY) 2025 adalah satu program yang menggabungkan pendidikan alam sekitar dengan aksi komuniti demi masa depan lestari.

Diterajui oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dengan kerjasama erat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pemilihan ini menyusuli sambutan luar jangka daripada lebih 120 penyertaan yang dihantar pada fasa permulaan Mac lalu.

Lebih daripada sekadar pertandingan, TEY 2025 menjadi platform pembentukan karakter, kemahiran dan semangat kepimpinan dalam kalangan pelajar. Program ini membuka ruang untuk golongan muda menterjemahkan ilham mereka kepada tindakan nyata demi kesejahteraan alam sekitar dan komuniti tempatan.

Bermula 28 hingga 30 April lalu, para pelajar dan guru penasihat telah mengikuti Bengkel Kaedah Penyelesaian Masalah 8 Langkah (PSM) di Shah Alam. Pendekatan sistematik Toyota ini bertujuan memperkasakan peserta dengan kemahiran analitik, penyelesaian masalah serta kebolehan merangka projek yang realistik dan lestari.

Bengkel tersebut turut menjadi medan mereka menimba inspirasi untuk bertindak sebagai pemangkin perubahan.

Selain itu, setiap sekolah yang tersenarai turut menerima dana permulaan sebanyak RM3,000 untuk melaksanakan projek masing-masing — menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM90,000.

Penilaian Projek yang Menyeluruh

Untuk memastikan impak yang sebenar dan menyeluruh, setiap projek akan dinilai berdasarkan empat komponen utama:

  1. Pelaksanaan di Lokasi (40%) – Menilai keberkesanan projek dalam situasi sebenar.
  2. Pembentangan Projek (20%) – Melihat kualiti naratif dan cara penyampaian idea.
  3. Pameran Projek (20%) – Mengukur kreativiti serta keupayaan visual dalam menyampaikan mesej projek.
  4. Penglibatan Komuniti & Media Sosial (20%) – Menilai keterlibatan masyarakat dan kehadiran digital projek.

Hanya 15 pasukan terbaik bakal mara ke peringkat akhir yang akan menentukan pemenang utama melalui pembentangan akhir dan pameran projek.

Seiring falsafah “Move Your World”, program ini bukan sahaja mendidik pelajar mengenai alam sekitar, tetapi juga melatih mereka menjadi pencetus transformasi dalam masyarakat.

Setiap inisiatif yang dihasilkan oleh pelajar mencerminkan visi Toyota terhadap mobiliti dan kelestarian yang digerakkan oleh komuniti.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K., menyatakan penghargaan terhadap semangat tinggi yang ditunjukkan oleh pelajar, “Melalui TEY, kami menyaksikan bagaimana generasi muda tidak hanya memimpikan dunia yang lebih baik malah mereka berusaha membentuknya dengan penuh komitmen. Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan transformatif ini.”

Google ads
Back to top button