Artikel PilihanBuletin

PROTON PERKENALKAN SAGA SERBA SEBELUM PELANCARAN RASMI

Tanjong Malim, 3 November 2025 – PROTON hari ini menganjurkan pra-tonton eksklusif untuk media bagi memperkenalkan Saga Serba Baharu, menandakan satu lagi detik penting dalam perjalanan evolusi syarikat.

Sejak terjalinnya kerjasama antara DRB-HICOM dan Geely pada September 2017, model ini menjadi yang pertama dalam sejarah PROTON dibangunkan sepenuhnya oleh bakat tempatan yang meliputi aspek reka bentuk, kejuruteraan dan pengesahan dengan sokongan teknikal daripada Geely. Ia sekali gus menjadi bukti keupayaan serta kematangan kejuruteraan PROTON yang semakin berdikari.

Dibina berasaskan platform baharu Advanced Modular Architecture (AMA), Saga Serba Baharu menawarkan asas yang fleksibel, berskala dan bersedia untuk masa depan yang direka bagi memenuhi piawaian antarabangsa dalam aspek keselamatan, prestasi dan emisi.

Seni bina elektronik termaju yang digunapakai membolehkan integrasi sistem pintar generasi baharu, membuka laluan ke arah teknologi sambungan pintar serta pemanduan separa autonomi untuk model masa hadapan.

Dengan pemilikan penuh terhadap Hak Harta Intelek (IPR), platform AMA memperkukuh keupayaan kejuruteraan PROTON serta membuka peluang kolaborasi baharu dalam ekosistem kumpulan Geely. Usaha ini turut berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab kejuruteraan serantau untuk pembangunan model-model masa depan.

Mengusung tagline “Intelligence That Thrills”, Saga Serba Baharu menggabungkan gaya, kecerdasan dan keyakinan pemanduan, mencerminkan aspirasi PROTON untuk menampilkan kecemerlangan automotif Malaysia di pentas global. Dengan 35 ciri baharu, model ini menetapkan penanda aras baharu dalam segmen sedan A tempatan, menawarkan tahap keselamatan, teknologi pintar dan kehalusan pemanduan yang terbaik dalam kelasnya.

“Saga Serba Baharu ini mewakili lebih daripada sekadar fasa baharu dalam legasi sedan PROTON,” ujar Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar. “Ia merupakan kemuncak hasil kerja bertahun-tahun oleh jurutera dan pereka Malaysia, disokong oleh kepakaran global. Ini menandakan transformasi PROTON daripada pengeluar kereta nasional kepada inovator automotif global yang digerakkan oleh bakat tempatan.”

“Saga Serba Baharu ini mewakili lebih daripada sekadar fasa baharu dalam legasi sedan PROTON,” ujar Zhang Qiang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar. “Ia merupakan kemuncak hasil kerja bertahun-tahun oleh jurutera dan pereka Malaysia, disokong oleh kepakaran global. Ini menandakan transformasi PROTON daripada pengeluar kereta nasional kepada inovator automotif global yang digerakkan oleh bakat tempatan.”

Intipati I.C.O.N – Saga Serba Baharu Diolah Semula

I – Impressive Performance

Dikuasakan oleh enjin baharu i-GT 1.5 liter bersama Transmisi Variabel Berterusan (CVT), Saga Serba Baharu menawarkan pemanduan yang lancar, efisien dan meyakinkan dengan penggunaan bahan api serendah 4.9L/100 km (MDC). Sistem Stereng Berkuasa Elektrik (EPS) yang diperbaharui meningkatkan kelincahan, sementara talaan pengendalian khas PROTON mengekalkan keseimbangan sempurna antara keselesaan dan kawalan.

C – Comprehensive Safety

Dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 1, Saga Serba Baharu hadir dengan sembilan fungsi keselamatan pintar termasuk:

  • Brek Kecemasan Berautonomi (AEB)
  • Amaran Perlanggaran Hadapan (FCW)
  • Amaran Perlanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Trafik Lintasan Belakang (RCTA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Menukar Lorong (LCA)
  • Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
  • Kawalan Lampu Suluhan Tinggi Pintar (IHBC)
  • Amaran Kenderaan Hadapan Bergerak (FDA)

Sistem ADAS ini disokong oleh enam beg udara serta struktur badan PROTON Reinforced Safety Structure (RESS) dengan komponen Hot Press Forming (HPF), memastikan tahap kekakuan dan perlindungan terbaik dalam segmennya.

O – Optimised Intelligence

Paparan dwi-skrin bersepadu 16 inci menggabungkan kluster meter digital dan sistem infotainmen dalam satu unit moden, kini menyokong Apple CarPlay® dan Android Auto™ tanpa wayar. Ciri-ciri harian turut dipertingkat dengan fungsi pintar seperti lampu utama automatik, pencahayaan Follow-Me-Home, dan pelarasan aras lampu utama.

N – Next-Gen Style

Reka bentuk Saga Serba Baharu tampil moden dengan Lampu Utama Projektor LED Penuh, Lampu Siang (DRL), Bar Lampu Belakang LED Penuh, serta rekaan gril hadapan bermotif Sulaman Songket, melambangkan warisan Malaysia. Kemasan rim aloi dua tona 15 inci melengkapkan penampilan bergaya dan kontemporari.

Google ads
Back to top button