Buletin

SAKSIKAN SAINGAN VIOS CHALLENGE PUSINGAN 2 HUJUNG MINGGU INI (23-24 OKT 2021)

Selepas tertunda akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TOYOTA GAZOO Racing Festival pusingan kedua kembali dijalankan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 23 hingga 24 Oktober 2021.  

Kali terakhir perlumbaan pusingan pertama berjaya dijalankan pada Mac lalu, sebelum tertangguh selama tujuh bulan akibat COVID-19.

Vios Challenge bakal menghidangkan aksi menarik daripada lima graduan Program Pembangunan Bakat Muda GAZOO Racing. Mereka merupakan pelumba yang beralih daripada perlumbaan go-kart dan simulator kepada memandu jentera sebenar di atas litar.

Naquib Azlan yang memenangi dua perlumbaan terdahulu berada di tempat teratas. Dia dicabar rapat oleh empat pelumba lain iaitu Amer Harris (17), Mika Hakimi (17), Jwan Hii (18) dan Putera Adam yang baru berusia 14 tahun.

Kelas Super Sporting akan terus menghidangkan kepakaran pelumba profesional termasuklah duta GAZOO Racing, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel yang menguasai dua perlumbaan pembukaan musim.

Tengku Djan pastinya akan disaing sengit oleh pemenang tempat kedua musim lalu, Mark Darwin; pemenang tempat ketiga, Freddie Ang serta beberapa pelumba berpengalaman seperti Boy Wong, William Ho, Kenny Lee, Keifli Othman, Syafiq Ali dan bekas juara Kelas Sporting, Brendan Paul Anthony.  

Turut bersaing dalam kelas itu ialah pelumba muda, Hayden Haikal yang menjadi juara Sporting Class tahun lalu.

Kelas Sporting pula bakal menyaksikan Adam Khalid dan Haji Sutan Mustaffa Salihin bersaing sesama sendiri dengan satu kemenangan setiap seorang.

Bagi peminat Kelas Promotional, anda boleh menyaksikan kehebatan selebriti mengendalikan jentera masing-masing. Antaranya termasuklah Shukri Yahaya, Janna Nick, Nabil Ahmad, Wany Hasrita, Nabila Razali, Khai Bahar, Talitha Tan dan  Ahirene Ahirudin.

Perlumbaan pada hujung minggu ini akan disiarkan secara langsung melalui laman web rasmi UMW Toyota Motor: www.toyota.com.my serta Facebook Toyota Malaysia dan Toyota GAZOO Racing Malaysia.

Google ads
Back to top button