Buletin

TEMPAHAN PROTON E.MAS 5 KINI DIBUKA. 2 VARIAN, ANGGARAN RM60K – RM80K SAHAJA! 

Menerusi satu sesi live di media sosial, Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) anak syarikat milik penuh PROTON, sebentar tadi mengumumkan bahawa tempahan bagi Proton e.MAS 5 serba baharu, kereta elektrik paling mampu milik di Malaysia kini dibuka secara rasmi.

Bermula dari jam 8.00 malam sehingga 10.30 malam, siaran langsung ini dikendalikan oleh Boss James dan Norreen Iman, serta menampilkan sesi soal jawab bersama wakil PRO-NET termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang dan Ketua Pegawai Penjenamaaan PRO-NET, Salawati binti Mohd Yusoff. 

Proton e.MAS 5 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Prime dan Premium. Manakala harga anggarannya pula sangat menarik iaitu bermula RM60,000 hingga RM80,000 sahaja. Harga itu sekali gus menjadikan e.MAS 5 sebagai kereta elektrik paling mampu milik di Malaysia. Penyerahan model itu akan bermula pada November 2025. 

5,000 orang pelanggan pertama yang berjaya, boleh membuat tempahan Proton e.MAS 5 dengan hanya RM99 sahaja. Mereka juga berpeluang menerima Kad Proton e.MAS Touch ‘n Go NFC edisi terhad yang diisi dengan RM100, di samping rebat tambahan sebanyak RM500 untuk bayaran tempahan.

“Dengan rekaan yang moden, dinamik pacuan roda belakang serta jarak pemanduan praktikal sehingga 325 km, Proton e.MAS 5 dicipta khas untuk rakyat Malaysia yang mahukan kereta yang mudah disesuaikan dengan kehidupan seharian mereka. Ia menawarkan gaya, praktikaliti dan lestari,” kata Zhang Qiang 

Disokong dengan 10 + 10 dan 10 lagi kelebihan utama, Proton e.MAS 5 hadir dengan rangkaian ciri menyeluruh yang benar-benar membezakannya daripada EV lain dalam kelasnya.

Daripada ruang simpanan inovatif, tombol gear kristal, suspensi belakang multi-link, pengecasan pantas DC, arahan suara dalam Bahasa Inggeris serta Bahasa Melayu, e.MAS 5 sememangnya sebuah EV serba lengkap. 

EV kompak itu turut hadir dengan rekaan dwi-tona, lampu utama LED, sistem keselamatan ADAS, kamera 360 darjah, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. 

Orang ramai boleh mendaftarkan minat minat mereka melalui laman web rasmi Proton e.MAS atau membuat tempahan terus di 42 pusat jualan Proton e.MAS di seluruh negara.

Google ads
Back to top button