Buletin

TEMPAHAN ZEEKR 001 2026 DIBUKA DI CHINA – JANA KUASA 912HP, 0-100KM/J 2.83 SAAT

Geely kini mula menerima pra-tempahan bagi Zeekr 001 versi terkini di pasaran China, dengan angka prestasi yang cukup mengagumkan, sehingga 912hp dan pecutan 0-100 km/j hanya dalam 2.83 saat.

Model tahun 2026 ini juga menyokong pengecasan pantas 12C DC serta mampu mencapai jarak pemanduan maksimum 810km (kitaran CLTC).

Menariknya, Zeekr 001 pada asalnya dibangunkan sebagai kereta konsep untuk jenama Lynk & Co sebelum diperkenalkan secara rasmi di bawah nama Zeekr pada 2021.

Dibina di atas platform modular SEA, ia menerima kemas kini facelift pada Februari 2024. Kini, versi baharu yang diumumkan pada 23 September 2025 telah pun dibuka untuk tempahan di China.

Dari segi rekaan, model baharu ini mengekalkan gaya agresif dengan lampu hadapan tersendiri, DRL yang menonjol serta bumbung yang aerodinamik.

Dimensi keseluruhan ialah 4,977mm panjang, 1,999mm lebar, 1,533mm tinggi dengan jarak roda 3,005mm. Ia turut dilengkapi sistem suspensi udara berkembar yang boleh dilaras sehingga 85mm, memberikan jarak kelegaan tanah maksimum 206mm – menjadikan kereta ini lebih sesuai untuk pelbagai permukaan jalan.

Sistem CDC (Continuous Damping Control) juga hadir untuk meningkatkan keselesaan dan kestabilan.

Teknologi bantuan pemanduan turut diperbaharui dengan pengenalan G-Pilot H7 yang disokong 31 sensor termasuk LiDAR, dipadankan dengan cip Nvidia Thor-U berkuasa pemprosesan 700 TOPS. Sebagai perbandingan, model terdahulu menggunakan sistem G-Pilot H5 dengan cip Nvidia Orin-X 508 TOPS.

Untuk pilihan kuasa, varian asas RWD menggunakan motor tunggal 489hp di gandar belakang dengan dua pilihan bateri: LFP 95kWh atau NMC 103kWh, memberikan jarak pemanduan antara 710 hingga 810km. Kelajuan maksimum dicatat pada 280km/j.

Varian AWD pula lebih ekstrem, menggunakan dwi-motor (310 + 370kW) dengan jumlah output 680 kW (912hp), mampu memecut 0-100 km/j dalam 2.83 saat.

Versi sebelumnya hanya menawarkan 580kW (777hp), manakala untuk pasaran Eropah pula sekitar 400 kW (536hp). Jarak pemanduan model AWD ini ialah 640 – 762km (CLTC), dengan kelajuan tertinggi sama, iaitu 280 km/j.

Tempahan awal boleh dibuat dengan deposit 2,000 yuan (RM1,310) manakala penghantaran kepada pengedar akan bermula pada 4 Oktober. Pelancaran rasmi dijadualkan pada 11 Oktober, namun harga jualan masih belum diumumkan.

Sebagai rujukan, model terdahulu dijual pada harga antara 259,000 hingga 329,000 yuan (RM169,600 – RM215,500).

Menurut data China EV DataTracker, sebanyak 24,126 unit Zeekr 001 berjaya dijual, jauh mengatasi pesaing utama seperti Denza Z9 GT yang mencatatkan 6,328 unit.

Google ads
Back to top button