Artikel Pilihan

YAVUZ : HUJAN BESI DARI TURKI UNTUK ATM ?

SEJARAH PROGRAM PEROLEHAN SPH ATM

Program perolehan Self Propelled Howitzer untuk ATM telah mula sejak 1990an lagi. Seiring dengan tamatnya insurgensi pada 1989, era 1990an menyaksikan perkembangan ekonomi negara dan pertumbuhan ekonomi yang pesat sebaik tamatnya perang dingin, keruntuhan Soviet Union.

Kepesatan Malaysia, turut merubah doktrin serta strategi ATM ke arah konvensional, perolehan aset canggih seperti FA-18D, Mig-29N, BAE Hawk serta Frigate F200 Kelas Jebat.

Rejimen Artileri turut menerima 28 unit Field Howitzer G5 “45-calibre G5 Mark 3 towed artillery system”, yang di beli dari DENEL, Afrika Selatan, dan penerimaan pertama berlaku pada 2001. Perolehan ini meningkatkan kuasa tembak, keberkesanan dan kecekapan operasi dengan sistem kawalan tembakan AS2000.

Perolehan howitzer ini menggantikan 15 unit FH-70 155m yang sudah usang walaupun mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan digunakan serata angkatan tentera di dunia. Malaysia adalah negara pertama bukan NATO yang menggunakan sistem ini.

Selari dengan perkembangan teknologi dan medan tempur yang semakin pantas, bagi menyokong kemaraan pasukan armor dan infantri, sokongon artileri juga sangat penting bagi melengkapi Combined Armed Division (CAD).

ATM telah mula mengorak langkah dengan menyatakan minat serta menguji beberapa jenis SPH, sejak 20 tahun lepas iaitu G6 Rhino buatan Denel dari Afrika Selatan, menggunakan chassis CAESAR buatan Nexter dari Perancis, diuji di Malaysia sekitar 2000an dan K9 Thunder buatan Samsung, diuji di Malaysia pada 2004

ATM memerlukan minima 36 unit SPH, yang akan di perolehi dalam 2 RMK, bagi melengkapkan 2 rejimen artileri. Antara garis panduan yang dijangkakan adalah;

1. – Keupayaan untuk dimobilisasikan melalui aset udara TUDM, iaitu fleet C130 dan A400M( air transportable)

2. -Dipacu oleh platform beroda

3. – Dapat beroperasi di muka bumi dan infrastruktur Malaysia

4. – Boleh menggunakan amunisi dan projektil NATO standard 155m

Jadi apabila desas desus perolehan SPH ini menjadi bualan media pertahanan minggu lepas, ianya bukanlah sesuatu yang timbul secara tiba2. Program perolehan SPH ini telah bermula sejak 22 tahun lepas sebahagian daripada pembangunan dan pemodenan artileri ATM, di kala negara serantau telah mengoperasikan unit SPH masing-masing.

Dalam DSA 2022 sendiri, MINDEF telah menggariskan SPH adalah program perolehan yang akan diberi keutamaan dalam RMK seterusnya.

YAVUZ SELFP PROPELLED HOWITZER

YAVUZ 155mm/52 calibre SPH menjadi hangat apabila MINDEF dikatakan akan memperoleh sistem ini bagi melengkapkan fasa pertama perolehan SPH iaitu bermula dengan 18 unit. Kos perolehan ini dijangkakan RM 854 juta. Jangkaan pemerhati media dan portal pertahanan, ATM akan memperolehi CAESAR SPH di mana kesinambungan perolehan 17 laras LG1 105mm NEXTER ( dahulu dikenali sebagai GIAT) yang juga dari Perancis, dan dibawa masuk oleh syarikat tempatan yang sama.

Malah CAESAR juga telah diuji berulangkali oleh ATM di Malaysia sendiri,oleh rejimen artileri di lapang sasar ATM. Video ujian ini tular dan boleh diperolehi di media sosial. Ini menguatkan lagi telahan pemerhati pertahanan di mana CAESAR adalah calon utama ATM bagi unit rejimen SPH yang pertama.

Antara yang menjadi isu adalah Yavuz adalah produk yang masih peringkat prototaip, dan masih tidak digunakan mana-mana negara walaupun Turki sendiri. Keboleharapan Yavuz SPH untuk beroperasi dan sesuai dengan keperluan Malaysia,menjadi perdebatan di media sosial,berbanding CAESAR yang telah dihasilkan sejak 1998, telah digunakan pelbagai negara, dan telah teruji di pelbagai medan (battle proven).

Untuk berlaku adil, walaupun Yavuz 155mm/52 SPH adalah produk baru, ianya hanyalah variasi yang terhasil dari 2 produk yang sedia matang dan telah diuji.

Sistem meriamnya berasaskan dari rekabentuk Panther 155mm/52 calibre towed howitzer yang dihasilkan juga oleh MKEK, bagi menggantikan M44 155mm SPH dari US yang telah usang, digunakan sejak 1950an. MKEK menghasilkan lebih 300  unit sistem Panther 155mm/52 calibre ini kegunaan tentera Turki sendiri. Malah Pakistan juga telah memperoleh lebih 100 unit Panther towed howitzer ini sekitar tahun 2008.

Panther 155mm/52 calibre ini berada dalam kelas towed howitzer yang sama dengan G5 DENEL yang digunakan ATM. Garis masa penggunaan dan produksinya juga bermula hampir sama. Kedua unit mempunya Auxiliary Power Unit (APU) yang membolehkan unit howitzer ini mempunyai keupayaan mobilinya yang sendiri dengan kelajuan 20km/j.

Jadi, MKEK sendiri telah mempunyai pengalaman menghasilkan meriam yang digunakan di YAVUZ SPH sejak 22 tahun lepas. MKEK pula adalah syarikat industri pertahanan gergasi Turki yang telah ditubuhkan 1453 membekalkan pelbagai senjata sejak zaman Uthmaniah lagi.

MKEK merupakan syarikat milik kerajaan Turki, yang mempunyai pelbagai kilang yang menghasilkan amunisi, roket,persenjataan, dan bahan letupan untuk kegunaan tentera Turki. Ini termasuk pelbagai senjata ringan,berat untuk kegunaan infantri.

MKEK juga turut menghasilkan 350 unit T-155 “Firtina” SPH,projek usahasama Turki dan Korea , berasaskan K9 Thunder SPH Samsung, tetapi dibangunkan sebahagian menggunakan teknologi dan industri Turki sendiri.

Yavuz SPH, dibangunkan atas permintaan dan keperluan Tentera Darat Turki sendiri, yang memerlukan lebih SPH untuk operasi mereka, jadi MKEK bekerjasama dengan ASELSAN,membangunkan sistem SPH beroda, integrasi antara sistem meriam 155mm dan trak, menggunakan sumber yang sedia ada. Ini akan menjimatkan kos, masa dan sumber berbanding pembangunan dari rekabentuk awal.

Platform mobiliti pula menggunakan chassis trak 6×6 10 tan BMC, yang juga industri militari di Turkey. Dengan kapasiti boleh bergerak 90km/j, 440hp EURO 5 motor, jarak operasi 600km, dan kabin yang telah dinaiktaraf menggunakan plat armor STANAG,mampu memberikan perlindungan impak balistik, serpihan artileri,senjata ringan pada 5 orang crew, dan mempunyai 12.7mmHeavy Machine Gun (HMG) sebagai senjata perlindungan.

Kedua sistem ini, diintegrasikan dalam satu platform dan menjadi satu produk baru tanpa mengeluarkan kos yang tinggi,tambahan pula BMC adalah gergasi industri kenderaan perdagangan dan juga indusri militari yang akan menghasilkan Main Battle Tank Turki iaitu ALTAY.

Pembekal turut menawarkan 18 unit Tactical Unmanned Aerial Vehicle (TUAV) yang akan disertakan sekali sebagai Forward Control Observer bagi meninjau dan memberi risikan yang tepat, sebelum bedilan dilakukan.

CALON LAIN SPH

CAESAR 155mm/52 calibre SPH ini dihasilkan NEXTER, dan mempunyai reputasi yang sangat baik, ianya dilihat sistem SPH yang seimbang dari segi kos, keupayaan teknikal serta rekod operasi. Beratus unit CAESAR telah dihasilkan dan boleh diintegrasikan dengan pelbagai platform lain selain RENAULT SHERPA truck, iaitu UNIMOG dan TATRA,keduanya pengeluar trak militari.

Antara negara yang mengoperasikan CAESAR adalah Denmark, Thailand, Arab Saudi, Indonesia dan Ukraine. Ukraine akan menerima sehingga 18 unit CAESAR bagi menentang Russia dan telah di umumkan oleh Presiden Macron.

PLC 181 155mm/52mm SPH dihasilkan oleh China, eksport version dikenali sebagai SH-15, yang telah diperoleh oleh Pakistan sebanyak 236-300 unit sebagai pengguna pertama. Pakistan juga merancang untuk mengeluarkan sebahagian SH15 SPH ini di kilang mereka iaitu Heavy Industri TAXILA.

Ianya mula dilihat pada 2018, menggunakan amunisi NATO standard yang dihasilkan NORINCO. PLC-181 SPH boleh dimobilisasikan menggunakan aset udara China sedia ada seperti Y9. PLC-181 menggunakan 6 orang crew untuk mengendalikan 1 unit SPH ini.

M109A5 155mm/52 calibre adalah SPH buatan US, dan telah menjadi standard SPH yang digunakan oleh negara NATO serta sekutu rapat mereka. Produksi yang telah berpuluh tahun bermula versi pertama M109A1 sehinggalah yang terkini iaitu M109A7. M109 merupakan unit SPH yang menggunakan mekanisme turret dan dilindungi armor, serta menggunakan runut sebagai mobiliti.

DSA Mac 2016, Malaysia ketika itu mengumumkan akan menerima 29 unit M109A5 SPH melalui program Excessive Defence Armament (EDA). Jangkaan kami, 18 unit akan digunakan bagi melengkapi 1 rejimen, dan baki 11 unit digunakan sebagai alat ganti.

Tetapi, perolehan ini telah dibatalkan oleh kerajaan PH ketika pemerintahan mereka. Sumber mengatakan, kos pemulihan dan restorasi 29 unit M109A5 iniuntuk beroperasi pada kadar zero hours condition sangat tinggi dan tidak berbaloi.

“MULTIPLIER EFFECT” ATM

Sekiranya YAVUZ SPH diperolehi dengan kekuatan 1 rejimen, ianya telah melengkapkan Divisyen ke 3 sebagai CAD ( Combined Armed Division ). Elemen armor seperti rejimen Tank telah lama dilengkapi PT-91M, dan elemen mekanis, infantri serta lain-lain. Keupayaan 3rd Division ATM pasti lebih tangkas dan mampu melakukan operasi kemaraan dengan mempunyai payung tembakan sokongan artileri sejauh 40km purata. Momentum serangan yang tidak putus pastinya tidak memberikan pasukan musuh mngatur kembali formasi mereka.

Berbanding sebelum ini menggunakan 155mm towed howitzer, mengambil masa untuk dimobilisasikan serta terdedah risiko jika musuh mempunya keupayaan radar untuk “counter battery”

”Deploy and redeploy” pasukan SPH pastinya mampu membinasakan formasi musuh, dan mengelirukan pasukan lawan kerana ianya mampu “Shoot and scoot” 8x tembakan amunisi 155mm dalam masa seminit, satu bateri SPH 6 unit x 6 tembakan bersamaan 36 bedilan dilakukan pada formasi serta kedudukan pihak musuh.1 bateri mempunyai 3 bateri, berjumlah 18 unit mampu membedil 108 bedilan 155mm amunisi HE (High Explosive). Ianya satu angka yang angat menggerunkan.

IMPAK STRATEGIK PEROLEHAN

Sejak 20 tahun lepas, hubungan antara Malaysia dan Turki dalam,industri pertahanan sangat rapat, terutamanya aset armor darat, dipelopori FNSS dan DEFTECH.

268 ACV 300 Adnan

256 AV8 Gempita

29 MRAP Edjer Yalcin

3 perolehan di atas, menunjukkan 50% aset armor ATM (hampir 600 unit) adalah berasaskan dari industri militari Turki. Malah setiap program perolehan akan datang turut disertai oleh Turki, menawarkan aset-aset mereka, antaranya sekadar beberapa contoh;

ANKA MALE UAV TUDM

RWCS Aselsan untuk kapal-kapal APMM

8 unit (Litoral Misison Ship) LMS Batch 2

18 unit YAVUZ SPH 155mm/52 calibre

200 unit AV4 bagi penggantian Condor
18 unit HURJET untuk Light Combat Aircraft TUDM

Kehadiran Perdana Menteri pada bulan lepas menandatangani pelbagai MOU, dan YDPA melawat kompleks pertahanan FNSS di Turki, memberikan simbolik betapa Turki di posisi yang sangat signifikan.

Sentimen yang dibawa Turki sebagai pemimpin negara Islam, turut memberikan kesan tambahan pula Turki adalah anggota NATO, serta mempunyai kompleks industri pertahanan yang mampu membuat aset, intergrasi” inter-operability” dengan sistem NATO.

Turki pula melihat peluang untuk meluaskn pengaruhnya dan menjadikan Malaysia sebagai hub industri pertahanan asia tenggara, dan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik ke tahap seterusnya.

Walaubagaimanapun, Malaysia seharusnya bersifat sederhana kerana Turki dan Saudi agak tegang dan kita seharusnya tidak terlalu dilihat pro Turki sehingga memberi kesan pada hubungan dengan Saudi yang telah matang sekian lama.

Oleh itu, jika perolehan YAVUZ SPH direalisasikan, ianya hanyalah kesinambungan daripada pelbagai projek pertahanan, offset strategik, program Transfer Of Technology ( TOT), bilateral, defence diplomacy antara kedua negara. Apapun aset yang diperoleh, semoga ianya berterusan bagi memperkasakan pertahanan negara.

Ini kerana perolehan sistem artileri 155mm terakhir dilakukan lebih 20 tahun Lepas.

Dirgahayu ATM

Muhammad Faiq Bin Shaf’ii

19.08.2022

Google ads
Back to top button